HomeUtamaKampung Kobuni johan cabaran 'Kampungku Bersih'

Kampung Kobuni johan cabaran ‘Kampungku Bersih’

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu: Kampung Kobuni yang terletak di Inanam di sini muncul johan cabaran ‘Kampungku Bersih’ yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu.

Dengan kemenangan itu, Kampung Kobuni berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, trofi dan sijil yang disampaikan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Sr Lifred Wong.

Majlis penyampaian hadiah itu disampaikan pada Majlis Penutupan Program Upcycle @ Recology Sambutan Ulang Tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.

Terdahulu, Lifred ketika berucap mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, cabaran itu telah melibatkan 23 buah kampung di seluruh Kota Kinabalu, dan berlangsung dalam beberapa peringkat penilaian.

Katanya, cabaran itu telah bermula pada 6 hingga 8 Januari 2025 (sesi awal), 3 hingga 5 Februari 2025 (sesi akhir), dan penilaian akhir shortlisted bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) pada 7 Februari 2025.

“Cabaran ini telah membawa impak luar biasa  dari sudut persekitaran yang lebih bersih dan sistem pengurusan sisa yang lebih cekap, landskap yang indah dan mesra komuniti, inovasi dalam penggunaan semula bahan buangan, peningkatan keselamatan komuniti, sehinggalah kepada daya tarikan pelancongan yang baharu di kawasan kampung.

“Cabaran ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi telah mencipta gelombang kesedaran baharu dalam  kalangan komuniti kampung bahawa apabila bersatu, mereka mampu membawa perubahan ketara terhadap imej dan kualiti hidup setempat,” katanya.

Naib johan cabaran itu berjaya dimenangi Kampung Binaung Baru dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM12,000, trofi dan sijil.

Manakala tempat ketiga dimenangi Kampung Bandulan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, trofi dan sijil.

Bagi pemenang tempat keempat dan kelima dimenangi masing-masing oleh Kampung Babagon Toki dan Kampung Likas Lama yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Selain itu tempat keenam hingga ke-10 dimenangi Kampung Melawa; Kampung Kokol; Kampung Unggun Jaya; Kampung Inanam Laut dan Kampung Tenggiling yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah komited bantu rakyatnya di Semenanjung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular