KOTA KINABALU: Kejadian kebakaran memusnahkan dua deret rumah yang menempatkan kira-kira 16 buah pintu di Skim Penempatan Telipok, dekat sini, sekitar jam 1 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam kenyataannya hari ini menyatakan sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 petang, sepasukan 19 anggota dan pegawai telah bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Setiba di lokasi kejadian, mendapati api telah merebak dengan cepat dan dua deret rumah mempunyai 16 pintu jenis tidak kekal itu telah musnah terbakar.
“Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan empat aliran dan sumber air didapati daripada bekalan tangki air jentera ,” katanya.
Walau bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dilaporkan dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal pada jam 3.14 petang.
“Operasi ditamatkan setelah tiada lagi punca api yang mencetuskan kebakaran semula, manakala punca dan jumlah kerugian dalam kejadian itu masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM,” tambahnya.