HomeUtamaKerajaan Hargai Usaha Pesara Guru Jayakan Strategi & Agenda Pendidikan

Kerajaan Hargai Usaha Pesara Guru Jayakan Strategi & Agenda Pendidikan

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Usaha para pesara pendidikan dalam menggembleng tenaga bagi menjayakan strategi serta agenda pendidikan dan kerajaan amnya amat dihargai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kehilangan khidmat bakti pesara guru dan Guru Besar sememangnya amat dirasai, apatah lagi mereka yang turut membantu mengharumkan nama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pelbagai peringkat.

“Pengalaman yang ada pada pesara Guru Besar menjadi pedoman kepada guru-guru besar muda agar lebih cekap dan efisien dalam memenuhi ekspektasi pelanggan dan menghadapi cabaran dalam sektor awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis ‘Kami Sayang, Tuaran Prihatin’, sempena Mesyuarat Pengurusan Guru Besar Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, anjuran Majlis Guru Besar Daerah Tuaran, di Kota Kinabalu, disini baru-baru ini.

Turut hadir mantan Ketua Kaunselor Psikologi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Sektor Angkat PPD Tuaran) Madaile Basri, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran Wanihim Othman, dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Tuaran, Muhamad Juin Nauli.

Jahid berkata, peranan dalam meneruskan cabaran getir bagi menterjemahkan segala dasar kerajaan, khususnya berkaitan pendidikan akan diteruskan pula oleh rakan-rakan yang menyambung tugasan mereka.

“Persaraan umpama persimpangan utama dalam kehidupan bagi mereka yang telah bekerja lebih 20 ke 35 tahun, di situ bermula satu kehidupan yang baru, melepaskan tugas dan tanggungjawab, rutin dan jawatan yang dipikul selama ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, mengalu-alukan cadangan penambahbaikan dari pesara terutamanya idea positif dan membina agar dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh Perkhidmatan Awam dalam kalangan Pengetua dan Guru Besar.

Sementara itu, mantan Ketua Kaunselor Psikologi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Sektor Angkat PPD Tuaran), Madaile Basri menghargai usaha pihak penganjur mengadakan program berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Wanihim Othman, mengucapkan terima kasih kepada Jahid kerana sentiasa menyokong apa sahaja program yang diadakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

Menurutnya, program tersebut diadakan bagi meraikan persaraan seorang mantan Ketua Sektor Angkat PPD Tuaran, dan 10 orang Guru Besar dan seorang Pengetua yang juga mantan Kaunselor PPD Tuaran.

“Makan malam ini diadakan untuk meraikan para mantan Pegawai, Guru Besar, Pengetua dan Kaunselor PPD Tuaran yang telah bersara sejak September 2020 hingga hari ini, 17 Oktober 2021,” katanya.

Pada majlis tersebut, Jahid turut menyumbang sebanyak RM10,000 untuk Pengurusan Program Pendidikan, Kebajikan dan Sosial, Majlis Guru Besar, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular