HomeUtama237 penyewa Rumah Pangsa Tanjung Aru ditawar rumah PPR – Joachim

237 penyewa Rumah Pangsa Tanjung Aru ditawar rumah PPR – Joachim

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU:  Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah melalui agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada kesemua 237 penyewa yang layak daripada 315 penyewa asal Rumah Pangsa Tanjung Aru.

Menurut Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, seramai 58 penyewa asal tidak ditawarkan rumah PPR kerana tidak memenuhi syarat Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Disewakan, manakala 20 lagi telah memiliki rumah atas nama sendiri.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, yang memohon memberikan penempatan kira-kira 50 ketua isi rumah dari kawasan tersebut.

Tambahnya, daripada 237 penyewa yang layak, seramai 113 telah menerima tawaran rumah PPR dan berpindah ke kediaman masing-masing. Mereka telah ditempatkan di beberapa lokasi iaitu Taman Jaya Diri (23 orang), Taman Bukit Setia (30), Taman Puri Warisan (25), Taman Sri Anak (5), PPR Kibabaig di Penampang (23), Gayang 2 di Tuaran (2), Taman Keramat di Putatan (2), dan Taman Serigai, Putatan (3).

“Namun begitu, seramai 124 penyewa menolak tawaran atas alasan lokasi rumah yang ditawarkan terlalu jauh daripada tempat kerja, sekolah anak atau kemudahan kesihatan.

“Setakat 3 Julai 2025, masih terdapat 55 penghuni yang belum berpindah keluar daripada Rumah Pangsa Tanjung Aru. Ini termasuk 30 yang telah menerima rumah PPR tetapi masih belum berpindah, 18 yang menolak tawaran, serta tujuh yang tidak layak ditawarkan rumah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Lamag mengenai cadangan menjadikan rumah PPR sebagai skim sewa beli, Joachim menjelaskan bahawa dasar semasa hanya membenarkan sewaan, dan bukan sewa untuk memiliki.

“Polisi rumah PPR disediakan untuk sewaan sahaja sebagai langkah sementara. Kita beri peluang kepada penghuni untuk menstabilkan keadaan kewangan mereka dan seterusnya membeli rumah kos rendah atau mampu milik sendiri,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, sekiranya rumah PPR dijadikan skim sewa beli, ia akan menjejaskan keupayaan kerajaan menyediakan unit sewaan kepada rakyat lain yang turut memerlukan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular