Membakut: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan terus memperkasakan usaha bagi melestarikan seni budaya masyarakat Brunei di negeri ini.
Presiden PMBS Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif itu termasuklah usaha memperkenalkan makanan tradisi seperti ambuyat dan kuih-muih supaya dapat diwarisi oleh generasi muda.
Katanya, ini sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil dalam kalangan etnik Brunei.

“Bukan saja dari sudut makanan ambuyat tetapi dari sudut kuih-muih juga kita perkenalkan supaya mereka dekat dengan nilai-nilai tradisi.
“Ini kerana kita berpendapat bahawa makanan-makanan ini juga boleh menjadi sumber ekonomi untuk masyarakat kita. Justeru, kita juga akan membuat beberapa siri pengenalan termasuk kursus untuk memperkenalkan makanan tradisi kita termasuk kuih-muih.
“Ada juga yang kita boleh bantu usahawan-usahawan kecil dari masyarakat kita untuk melangsungkan kehidupan dan mencari rezeki melalui keupayaan mereka membuat atau menyediakan bahan atau makanan tradisi ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Ambuyat Sabah 2025 di sini pada Ahad
Pesta tersebut disempurnakan Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah juga mahu masyarakat Brunei bijak menambah variasi serta inovasi dalam setiap hidangan ambuyat supaya dapat menarik minat serta selera generasi muda.
“Yang seterusnya, sudah pasti ambuyat dan hidangan-hidangan yang berteraskan masyarakat kita walaupun sebenarnya ambuyat ini adalah milik semua suku. Sebahagian besar suku di etnik di Sabah ini memang sangat minat dalam menikmati ambuyat.

“Masyarakat Brunei juga tidak terkecuali dan kita tambah variasinya dengan pelbagai menu hidangan, cecah dan sebagainya. Kita akan teruskan program ini setiap tahun dan kita akan pilih beberapa tempat untuk menyeberangkan program festival ambuyat,” katanya.
Selain itu, Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan menggalakkan golongan muda khususnya golongan pelajar agar menguasai persembahan tarian etnik terbabit agar tidak hilang ditelan zaman.
“Khususnya daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan remaja untuk menguasai bidang tarian atau seni budaya yang berhubung dengan masyarakat Brunei agar dapat dilestarikan dan menjadi salah satu warisan kita,” katanya
Pada majlis berkenaan, Toh Puan Faridah diiringi Arifin, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Ambuyat 2025, Sapdin Ibrahim menyampaikan insentif calon SPM dan STPM 2024 Cemerlang (Anak Brunei) sumbangan Yayasan Dangsanak.
Turut disampaikan, hadiah kepada para pemenang pertandingan ambuyat serta Pertandingan Tarian Zapin Brunei sempena Pesta Ambuyat Sabah 2025.



