Kota Kinabalu : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 bernilai lebih RM1 bilion, bagi melancarkan operasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga akhir tahun ini.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong, berkata RUU itu lulus selepas ia dibahas oleh 26 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli DUN yang hadir.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peruntukan tambahan itu adalah diperlukan bagi membiayai enam kategori perbelanjaan.
Antaranya, caruman kepada kumpulan wang berkanun; perbelanjaan pentadbiran; perbelanjaan operasi; perbelanjaan bagi pemberian dalam negeri; perbelanjaan bagi tujuan pelaburan dan peruntukan khas.
“Kategori pertama adalah caruman kepada kumpulan wang berkanun yang disyor berjumlah RM600 juta atau 51 peratus; Perbelanjaan Pentadbiran (RM204 juta); Perbelanjaan Operasi (RM195 juta) dan Perbelanjaan bagi Pemberian Dalam Negeri (RM84 juta).
“Turut disenaraikan adakan perbelanjaan bagi tujuan pelaburan iaitu sebanyak RM54.4 juta dan Peruntukan Khas sebanyak RM50.7 juta,” katanya.
Belia berkata demikian ketika membentangkan perbekalan tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Terdahulu, RUU Perbekalan Tambahan dibahaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin; Senalang; Nabawan; Moyog; Tungku; Darau; Lamag;’ Sebatik; Sulabayan; Kemabon;Gum-Gum dan Bugaya.
Turut membahas, ADUN Merotai; Sekong; Tanjung Aru; Kapayan; Elopura; Kadamaian; ADUN Dilantik Datuk Dr Aliakbar Gulasan; ADUN Sri Tanjung; Telupid; Kukusan; Limbahau; ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin; ADUN Sungai Manila dan Balung. – SABAH MEDIA



