KUALA LUMPUR, – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan telah menerima keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemain warisan yang mewakili skuad kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi, dalam kenyataan rasmi berkata pihaknya menegaskan bahawa semua pemain terbabit dan FAM sendiri bertindak dengan niat baik serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sepanjang proses pendaftaran.
“FAM telah menguruskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan FIFA. Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan mengesahkan bahawa mereka layak untuk beraksi bagi Malaysia,” katanya.
Menurutnya, susulan keputusan terbaharu itu, FAM akan memfailkan rayuan dan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan bagi melindungi kepentingan para pemain serta skuad kebangsaan.
FAM, katanya, kekal komited bertindak tegas, mematuhi peraturan antarabangsa dan mempertahankan integriti bola sepak negara.
“FAM juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan proses yang dijalankan telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan. Sebarang perkembangan lanjut mengenai rayuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.



