KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen Sabah yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dalam temasya Sukan Borneo 2025 di Kuching, Sarawak.
Setakat ini, kontinjen Sabah berjaya mengumpul 22 pingat emas, 21 perak dan 26 gangsa hasil perjuangan cemerlang atlet di pelbagai acara sukan.
“Anak-anak Sabah telah membuktikan semangat juang dan bakat luar biasa mereka di pentas serantau.
“Teruskan berjuang kerana seluruh rakyat Sabah berdiri teguh memberikan sokongan dan doa untuk anda,” katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini pada Sabtu.
Hajiji turut menyeru para atlet agar mengekalkan momentum kejayaan ini sehingga ke penghujung temasya, sekali gus mengharumkan nama Sabah.
Hari ini beberapa rekod baharu berjaya dicatat menerusi acara 400 meter masing-masing bagi kategori wanita dan lelaki.
Atlet bagi acara itu, Muhammad Khalil Helmi dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, mencipta sejarah apabila muncul juara acara itu masing-masing dengan catatan masa baharu kejohanan.
Khalil menamatkan larian dengan masa 47.28 saat, manakala Chelsea mencatat 56.66 saat, kedua-duanya sekaligus memperbaharui rekod kejohanan.
Selain itu, turut mencatat rekod baharu, pasukan kuartet Sabah yang meraih pingat emas dalam acara 4×400 meter campuran apabila mencatat masa 3 minit 33.11 saat sekali gus memperbaharui rekod kejohanan.
Gandingan mantap Hizillawanty Jamain, Muhammad Khalil bin Helmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Pengiran Aidil Auf bin Hajam Pg. Roslie memastikan dominasi Sabah dalam acara berpasukan, menewaskan saingan rapat dari negeri lain. – SABAH MEDIA



