SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong sebagai jaminan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawan kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), tegas Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, berdasarkan siri lawatan ke DUN berkenaan, Gagasan Rakyat yang diketuai Safarudin Abu menguasai kira-kira 68 peratus sokongan rakyat berbanding parti lain dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya memberi jaminan Gagasan Rakyat berpotensi besar menang di kawasan itu sekaligus merampas kerusi DUN Sekong daripada Parti Warisan,” katanya selepas melawat War Room Gagasan Rakyat Sekong, semalam.
Masiung yang juga Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat Sandakan berkata, parti pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu menjadi pilihan utama masyarakat pelbagai lapisan di Sekong.
Bagaimanapun, katanya, peluang GRS mungkin terjejas sekiranya parti lain dalam gabungan itu atau PH diletakkan sebagai calon di kawasan berkenaan.
“Laporan terperinci di semua tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) jelas menunjukkan Gagasan Rakyat sebagai tulang belakang GRS. Statistik kami jauh meninggalkan parti-parti lain yang berminat meletakkan calon di kawasan Pantai Timur itu.
“Pandangan badan bebas dan risikan Unit Cawangan Khas beruniform harus diambil kira agar tidak merugikan peluang GRS di Sekong pada PRN-17 ini,” tambahnya.
Dalam lawatan itu, Masiung diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting yang juga Timbalan Pengerusi Zon 10, Datuk George Hiew.
Hiew turut yakin kekuatan lebih 300 cawangan Gagasan Rakyat di Sekong memberi kelebihan untuk menawan kerusi Warisan, malah kewujudan parti lain dalam GRS dan PH dilihat mampu mengukuhkan lagi pengaruh parti itu di kawasan berkenaan.
Kedua-dua pemimpin itu sepakat bahawa kerusi pembangkang tersebut berpotensi besar ditawan sekiranya Gagasan Rakyat diberi mandat untuk bertanding di Sekong.



