KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan industri halal sebagai salah satu sektor berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, industri halal kini berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar dan menjadi penyumbang utama dalam perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi berkaitan, sektor swasta dan komuniti usahawan agar berganding bahu memperkukuh ekosistem industri halal di Sabah.
“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama MUIS menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro.
Katanya, bantuan ini disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan operasi perniagaan, namun usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub.
“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
“Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat global. Justeru, industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi MUIS Halal Hub”, katanya.
Sementara itu, Hajiji turut berhatap program MyHalal Day melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing, serta mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama dalam industri halal serantau.
Katanya, penganjuran MyHalal Day yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada usahawan melalui pelbagai pengisian, antaranya klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal, serta perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal.
“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas bagi memperkukuh daya saing produk,” katanya. – SABAH MEDIA



