Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU:Saksi kanak-kanak keenam merasakan punca Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama ada kaitan dengan tuduhan mencuri yang dikaitkan dengannya.
Perkara ini dikongsikan oleh peguam ibu Zara, Shahlan Jufri, dalam sidang media berhubung keterangan saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Zara.
Menurut Shahlan, saksi kanak-kanak tersebut melihat Zara masuk ke dalam sebuah dorm untuk berjumpa seorang pelajar senior pada 10.20 malam 15 Julai lalu.
“Saksi ini memberitahu mahkamah Zara dipanggil untuk dua kes kecurian kehilangan dompet dua pelajar. Saksi terdengar perbualan isu kecurian disebut, namun tidak jelas.
“Beberapa ketika kemudian, empat senior termasuk 2 orang pelajar senior yang dikenali pelajar tersebut masuk ke dorm untuk berjumpa Zara. Saksi mendengar suara kuat seperti memarahi Zara, tetapi tidak dapat pastikan siapa yang bercakap pada masa itu, dia hanya tahu keesokan harinya apabila ada pelajar-pelajar lain yang bercerita dengan saksi ini,” katanya.
Turut mewakili ibu Zara adalah Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Menurut Shahlan, saksi juga memberitahu tidak pernah nampak Zara lepak atau ke dorm itu sebelum ini.
Tambahnya, saksi berkata pelajar di asrama suka memaki, namun, perbuatan memaki ini hanya berlaku di kalangan kawan-kawan sahaja.
Shahlan berkata saksi juga ada menyatakan bahawa pada lebih kurang jam 11 malam sebelum ‘off light’, Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis.
“Dia sahkan itulah kali pertama dia melihat Zara menangis dan itu adalah kali terakhir saksi melihat Zara pada malam kejadian,” katanya.
Menurut Shahlan, saksi ini juga mengesahkan bahawa dia mengetahui apa sebab Zara ditemui di tingkat bawah asrama pada pagi 16 Julai lalu.
“Dia merasakan sebabnya adalah Zara dituduh mencuri pada 15 Julai lalu,” katanya.
Selain itu saksi ini juga ada menyatakan bahawa dia ada menghantar surat privasi Zara ke dorm Zara.
“Apabila sampai ke dorm Zara, ada pelajar lain yang merupakan saksi yang sudah dipanggil dalam kes ini menerima surat privasi itu. Apabila pelajar itu menerima surat privasi itu, pelajar itu membaca surat privasi itu,” katanya sambil menambah Koroner juga ada bertanyakan beberapa soalan kepada saksi mengenai penyerahan sepucuk surat privasi itu.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.



