KOTA KINABALU : Penduduk di beberapa daerah di Sabah dinasihatkan berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sehingga jam 6 petang ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah daerah di Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau.
Turut dilaporkan terlibat adalah di kawasan pantai timur melibatkan Tawau, Kunak dan Lahad Datu; serta daerah Sandakan meliputi Kinabatangan.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Orang ramai, khususnya di kawasan berisiko banjir kilat dan tanah runtuh, diingatkan agar lebih berhati-hati, selain menangguhkan aktiviti luar buat sementara waktu.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. – SABAH MEDIA



