SIPITANG: Seramai 244 penduduk Kampung Long Pasia, Long Mio dan Ulu Bole di sini pada Selasa menerima geran tanah masing-masing menerusi Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Majlis penyerahan geran PANTAS itu disempurnakan oleh Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob kepada ketiga-tiga ketua kampung tersebut iaitu Yakub Sim (Long Pasia), Murang@Murong Padang (Long Mio) dan Ampayas Antakah (Ulu Bole).
Pada majlis penyerahan di Dewan Terbuka Quang Square, 138 geran membabitkan penduduk kampung Long Pasia, 56 geran (Long Mio) dan 50 geran (Ulu Bole).
Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan itu, Dr Yusof berkata penyerahan geran PANTAS kepada penduduk terlibat penting agar mereka memiliki tanah yang bergeran dan tiada lagi keraguan.
Justeru itu, beliau berharap penduduk yang menerima manfaat menerusi program Kerajaan Negeri ini dapat mengusahakan tanah itu dengan tanaman pertanian seperti kopi, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Katanya, ini penting bagi memenuhi permintaan makanan di daerah Sipitang menerusi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Dijangka 13,500 tenaga kerja di SOGIP yang akan tinggal bersama keluarga mereka di Sipitang…sudah tentu permintaan bekalan makanan akan meningkat dan peluang ini harus direbut oleh penduduk Sipitang khususnya kalangan golongan muda,” katanya.
Beliau juga menegaskan agar penerima geran PANTAS ini tidak menjual geran itu kepada orang lain tetapi tanah tersebut harus dimajukan secara sendiri atau berkelompok menerusi agensi-agensi Kerajaan negeri dan persekutuan atau koperasi.
Katanya, PANTAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyukat dan memberikan geran tanah secara rasmi kepada anak-anak negeri di kawasan tanah adat negeri bagi menjamin dan mengiktiraf pemilikan tanah turun-temurun yang sah, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini.
Pada majlis sama, Dr Yusof turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada 120 Ketua Isi Rumah mangsa bencana banjir baru-baru ini yang dipindahkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara di Sipitang. – SABAH MEDIA



