Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A. Gani Pg Amir menegaskan keyakinan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik mampu dipertahankan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah berbekalkan kekuatan 6,800 ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di kawasan itu.
Hassan berkata, mandat yang diberikan rakyat sebelum ini merupakan amanah besar yang akan terus dipikul demi memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat Sebatik terus terjamin.
“Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan sentuhan berterusan, sama ada dari segi ekonomi, infrastruktur mahupun pendidikan. Justeru, saya akan pastikan suara rakyat Sebatik terus didengar di peringkat negeri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Hassan yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik, kekuatan keahlian parti menjadi aset penting dalam memastikan kerusi tersebut kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Dengan sokongan padu ahli di peringkat akar umbi, saya yakin kerusi ini dapat terus dikekalkan. Jumlah keahlian yang ramai sudah tentu menjadi aset penting kepada GRS pada PRN kali ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, jentera Gagasan Rakyat Sebatik sudah digerakkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kali ini yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Kesiapsiagaan awal ini adalah strategi penting untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan sekaligus memberi sumbangan kerusi kepada GRS. Ini adalah faktor utama yang memberi keyakinan bahawa DUN Sebatik mampu mempertahankan kemenangan dan terus menjadi benteng sokongan kepada GRS,” tegasnya.



