PRN SABAH
HomeUtamaKerajaan telah laksana tanggungjawab, harap pembangunan seimbang bandar dan kampung pada penggal...

Kerajaan telah laksana tanggungjawab, harap pembangunan seimbang bandar dan kampung pada penggal hadapan

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Kerajaan hari ini telah melaksanakan tanggungjawab melalui pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan, namun penduduk luar bandar berharap jika diberi mandat sekali lagi, perhatian dapat diberikan kepada usaha mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dan kampung.

Emily Maguntas, 51, berasal dari Pekan Nabalu, berkata bantuan kerajaan banyak memberi manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah, anak-anak muda yang melanjutkan pelajaran serta peniaga kecil di kawasan luar bandar.

“Lapan orang anak saya kini berusia 18 tahun ke atas dan layak mengundi. Harapan saya agar kerajaan terus membantu anak-anak muda mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui Sabah Media.

Emily menjelaskan di Pekan Nabalu, pembangunan semakin pesat berbanding dahulu terutama dalam sektor pelancongan. Kawasan itu tidak pernah sunyi daripada pengunjung kerana menjadi salah satu tarikan persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada wakil rakyat yang berkhidmat di kawasan itu kerana menyediakan kemudahan awam yang lebih baik, sekali gus merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Pekan Nabalu.

Emily yang kini menetap di Penampang kerana bekerja berkata, dia akan balik kampung untuk mengundi bagi memastikan kemenangan wakil rakyatnya itu. Beliau berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan dan aktiviti yang mampu meningkatkan pendapatan penduduk kampung.

“Sebelum ini saya nampak pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk penduduk kampung seperti kursus kraf tangan, ternakan ikan kolam dan banyak lagi,” katanya.

Namun, beliau berharap sekiranya kerajaan diberi mandat sekali lagi, tumpuan dapat diberikan kepada penyelesaian masalah gangguan bekalan elektrik, isu jalan raya serta bekalan air yang sering terjejas di kawasan apabila musim kemarau.

“Kebanyakan penduduk kampung di sekitar Pekan Nabalu menggunakan bekalan air graviti dan gangguan bekalan air sering berlaku ketika musim kemarau. Punca air graviti menjadi kering dan kami tidak mendapat bekalan air. Saya berharap masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fareez Hamidun, 43, berasal dari Kemabong, Tenom tetapi kini menetap di Penampang, turut menzahirkan penghargaan terhadap bantuan kerajaan termasuk ketika musibah banjir baru-baru ini.

“Ketika banjir di Penampang, kami menerima bantuan RM1,000 selain bakul makanan daripada kerajaan, wakil rakyat, NGO dan individu lain. Ibu saya juga antara penerima bantuan kerajaan. Saya bersyukur dengan apa yang kami dapat.

“Namun, saya berharap kerajaan dapat memberi lebih perhatian kepada pembangunan luar bandar, khususnya menaiktaraf jalan raya yang menghubungkan bandar dengan kampung. Masalah gangguan bekalan elektrik dan air juga perlu diatasi kerana ia sangat penting untuk kesejahteraan rakyat.

“Pembangunan perlu seimbang kerana bandar dan kampung sama-sama penting untuk keselesaan bersama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PM zahir takziah atas pemergian Bung Moktar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular