Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Seramai 55 pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) menerima sumbangan kewangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan, Deckson, dalam satu majlis ringkas di pejabat ADUN Nabawan baru-baru ini.
Menyampaikan amanat mewakili Abdul Ghani, Deckson menasihatkan pelajar agar belajar bersungguh-sungguh di kampus masing-masing.
“Harungilah cabaran yang bakal dihadapi, berpeganglah kepada ajaran agama serta sematkan pesanan ibu bapa dalam hati,” katanya.
Menurutnya, kejayaan para pelajar bukan sahaja menjadi kebanggaan ibu bapa malah turut mengharumkan nama masyarakat di daerah ini.
Turut hadir menyampaikan motivasi kepada pelajar ialah Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Pensiangan, Hamzah Junaidi.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sememangnya aktif menyalurkan bantuan kewangan sejak dahulu lagi, bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga organisasi serta individu yang memerlukan, termasuk pesakit bagi menampung kos rawatan di hospital.



