PRN SABAH
HomeUtamaPoster pelancongan promosi keunikan tawau, sasar pelancong China

Poster pelancongan promosi keunikan tawau, sasar pelancong China

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Usaha memperkasa industri pelancongan Tawau dipergiat melalui pelancaran poster promosi khas yang menampilkan makanan tempatan dan lokasi menarik di daerah ini, khusus untuk menarik minat pelancong dari China.

Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Philip Yapp, berkata inisiatif itu lahir daripada keperluan untuk memastikan pelancong yang tiba di Tawau tidak terus menuju ke Semporna, sebaliknya meluangkan masa menikmati keunikan bandar ini.

“Poster ini direka dalam bahasa Cina kerana kita menyasarkan pelancong dari negara tersebut. Ia memaparkan makanan terkenal dan destinasi menarik di Tawau seperti hot spring dan formasi batuan gunung berapi. Versi bahasa Inggeris akan turut disediakan selepas ini.

“Pelancong China biasanya mencari lokasi melalui aplikasi mudah alih dan akan berkongsi pengalaman mereka di media sosial. Secara langsung, Tawau akan lebih dikenali sebagai destinasi wajib singgah selain Semporna,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Tawau sempena pelancaran poster berkenaan, di sini hari ini.

Beliau menambah, langkah itu seiring dengan rancangan kerajaan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau dengan peruntukan RM120 juta yang diumumkan baru-baru ini, bagi membolehkan lebih banyak penerbangan antarabangsa dari negara jiran serta bandar utama dalam negara.

“Dalam tempoh tiga tahun, kita akan bersedia menerima peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa. Tawau yang kini dilabel sebagai ‘syurga makanan’ mempunyai potensi besar untuk menjadi hab pelancongan serantau,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim, yang turut hadir, berkata sektor pelancongan harus terus dipacu kerana ia memberikan kesan segera kepada ekonomi rakyat.

“Berbeza dengan pelaburan industri lain yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menjana hasil, pelancongan memberi impak segera melalui rantaian ekonomi tempatan. Sebab itu, selepas pasca COVID-19, pelancongan menjadi fokus utama di seluruh dunia.

“Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir, Tawau perlu memainkan peranan penting menampilkan keunikannya kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas pengarah JANS tidak terlibat dalam tender – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular