PRN SABAH
HomeUtamaPelancongan, kesihatan jadi fokus Vivian Wong dalam Belanjawan 2026

Pelancongan, kesihatan jadi fokus Vivian Wong dalam Belanjawan 2026

Read Time:1 Minute, 28 Second

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, telah membangkitkan dua isu kritikal untuk pembangunan Sandakan iaitu pelancongan dan kesihatan semasa sesi perbahasan Belanjawan 2026.

Beliau menegaskan bahawa potensi pelancongan Sandakan sebagai “Gateway to Borneo’s Wildlife” terhalang oleh kekurangan infrastruktur asas. Beliau menyeru Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan pembinaan jeti pelancongan yang selamat dan lengkap sebagai projek keutamaan. Keperluan ini mendesak memandangkan beratus-ratus pelancong menggunakan laluan ke Pulau Lankayan, Selingan, Bakkungan Kecil dan Berhala setiap hari tanpa kemudahan khas.

Selain itu, Vivian menyambut baik penubuhan geran padanan RM50 juta untuk menarik penerbangan antarabangsa dan carter. Beliau berharap dana ini dapat dimanfaatkan bagi merealisasikan penerbangan terus Sandakan-Singapura, yang dijangka akan merancakkan industri sokongan seperti hotel, pandu pelancong, dan kraftangan.

Vivian juga mencadangkan supaya pelepasan cukai individu RM1,000 bagi pelancongan domestik diperluas untuk merangkumi perbelanjaan penginapan hotel, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Langkah ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat dari Semenanjung melancong ke Malaysia Timur.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perlaksanaan yang perlat bagi projek menaik taraf Hospital Duchess of Kent (HDOK). Walaupun diumumkan pada 2022 untuk dinaik taraf menjadi Hospital Major Pakar dengan peningkatan perkhidmatan pakar daripada 18 kepada 49 bidang, kemajuan projek masih di peringkat awal.

Vivian menekankan keadaan hospital yang masih sesak, kekurangan doktor pakar, dan ketiadaan peralatan perubatan penting. Ketiadaan kemudahan rawatan oftalmologi, contohnya, memaksa pesakit Sandakan terbang ke Kota Kinabalu setiap bulan, yang membebankan dari segi kewangan dan emosi.

Beliau menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Kesihatan mengenai tempoh masa dan peringkat pelaksanaan projek tersebut.

Vivian menegaskan bahawa keadilan dalam akses kesihatan adalah penanda aras kemajuan negara, dan penduduk Sabah tidak sepatutnya dinafikan hak ini atas faktor geografi.

“Kerajaan Persekutuan mesti menunaikan janji untuk menjadikan HDOK pusat rujukan perubatan utama di Pantai Timur Sabah,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular