PRN SABAH
HomeUtamaPBS sambut baik keputusan mahkamah tinggi

PBS sambut baik keputusan mahkamah tinggi

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan berhubung hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah sebagai kemenangan besar rakyat Sabah dan semangat Malaysia yang sebenar.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata keputusan bersejarah itu mengesahkan tanggungjawab Perlembagaan serta moral Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PBS mengucapkan tahniah kepada SLS atas keberanian membawa isu ini ke mahkamah. Keputusan ini bukan sahaja kemenangan undang-undang, tetapi juga kemenangan kepada semangat keadilan dan kesaksamaan antara Sabah dan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Joachim menegaskan, keputusan itu membuktikan bahawa hak 40 peratus bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya hak perlembagaan yang telah lama dinafikan.

“Selama hampir lima dekad, hak ini diabaikan dan ditangguhkan. Kini tiba masanya untuk memperbetulkan kealpaan sejarah ini serta melaksanakan janji yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati perintah mahkamah untuk menyemak semula jumlah hasil dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam masa 180 hari mengenai jumlah hasil bagi tempoh 1974 hingga 2021.

“Perintah mahkamah ini mesti dilaksanakan tanpa alasan atau penangguhan. Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan,” tegasnya.

Menurut beliau, isu hak 40 peratus ini melangkaui sempadan politik dan seharusnya menjadi agenda penyatuan semua pemimpin Sabah bagi mempertahankan hak negeri dari segi perlembagaan dan kewangan.

“PBS sejak dahulu lagi konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah di bawah MA63. Keputusan ini satu langkah penting ke arah mengembalikan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Joachim turut menyatakan sokongan penuh PBS terhadap SLS dan badan kehakiman yang telah menegakkan kedaulatan undang-undang serta memperkukuh kedudukan Sabah dalam Malaysia.

“Biarlah keputusan ini menjadi titik permulaan era baharu yang berasaskan keikhlasan dan keadilan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan. Selepas 48 tahun, sudah tiba masanya kita menghormati perjanjian dan menjunjung Perlembagaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

SEDCO dan anak syarikat perlu lebih berdaya saing, tingkatkan dividen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular