Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU : Kontinjen Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 selepas menamatkan temasya dengan kutipan pingat tertinggi sekali gus mengekalkan dominasi mereka sebagai kuasa utama sukan di negeri ini.
Berdasarkan kedudukan akhir, Kota Kinabalu mengungguli kedudukan teratas dengan 28 pingat emas, diikuti Papar tempat kedua dengan 20 pingat emas, manakala Sandakan tempat ketiga dengan 19 emas.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah ialah Datuk Mansur Asun, yang mewakili Menterinya, Datuk Ellron Angin.
Turut mencatat prestasi membanggakan ialah Keningau (18 emas), Tawau (16 emas) dan Tuaran (12 emas) yang mengekalkan kedudukan dalam kelompok enam terbaik.
Antara daerah lain yang menonjol termasuk Putatan (12 emas), Penampang dan Ranau masing-masing dengan tujuh emas yang memperlihatkan peningkatan berbanding edisi terdahulu.
Secara keseluruhan, sebanyak 30 daerah di Sabah mengambil bahagian dalam temasya dwi-tahunan itu, yang bertujuan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan belia negeri.
SAGA XI yang berlangsung di daerah ini bermula 11 hingga 17 Oktober ini dengan penyertaan lebih 6,000 atlet dan pegawai dari seluruh negeri. – SABAH MEDIA



