PRN SABAH
HomePRNAnifah Aman Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Berhubung Hak 40 Peratus Sabah

Anifah Aman Sambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Berhubung Hak 40 Peratus Sabah

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Presiden Parti Cinta Sabah Tan Sri Anifah Aman, menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak perlembagaan negeri Sabah terhadap 40 peratus Geran Khas hasil Persekutuan seperti termaktub di bawah Perkara 112(C) dan 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah kemenangan bersejarah bagi hak perlembagaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakyat Sabah telah sekian lama memperjuangkan hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, namun pelaksanaannya secara berkesan masih belum tercapai.

“Keputusan hari ini menegaskan bahawa hak tersebut bukan sekadar aspirasi, tetapi tanggungjawab yang mengikat dan mesti dipenuhi,” katanya.

Anifah yang juga Bekas Menteri Luar turut memuji keteguhan pendirian Kerajaan Negeri Sabah dan SLS yang gigih memperjuangkan isu ini sehingga mendapat pengesahan undang-undang melalui keputusan mahkamah.

Menurut beliau, pengiktirafan mahkamah ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menegakkan bukan sahaja semangat tetapi juga maksud sebenar MA63 dan Perlembagaan Persekutuan dalam usaha membina negara.

“Perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan dan penyelesaian dalam tempoh masa tertentu adalah langkah penting ke hadapan,” katanya lagi.

“Ini menghantar mesej jelas bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu berunding dan melaksanakan apa yang telah lama dipersetujui, agar pembangunan Sabah tidak lagi terhalang akibat kelewatan dalam hak fiskal.”

Beliau menyeru agar pelaksanaan keputusan ini dilakukan dalam semangat kerjasama dan saling menghormati antara kedua-dua pihak.

“Ketika kita meraikan kemenangan ini di mahkamah, ujian sebenar kini terletak pada pelaksanaan di peringkat praktikal,” tambahnya.

“Saya amat berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak mencabar keputusan ini, sebaliknya melaksanakan tanggungjawabnya sepenuhnya supaya rakyat Sabah akhirnya dapat menikmati pembangunan dan sumber yang setimpal dengan hak mereka.”

Anifah menegaskan bahawa hak perlembagaan Sabah adalah asas kepada perpaduan dan kestabilan Malaysia.

“Menegakkan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja melindungi kepentingan Sabah, tetapi turut memperkukuh kesatuan yang menjadi asas penubuhan Malaysia,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular