SANDAKAN: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Robert Chong Thien Ming, mencadangkan pelaksanaan segera langkah sementara bagi menangani masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Menurut Chong dalam satu kenyataan hari ini, hasil beberapa lawatan tapak serta maklum balas daripada orang ramai mendapati pesakit, pelawat dan kakitangan hospital masih berdepan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta, selain mengalami kesesakan lalu lintas setiap hari.
Bagi mengatasi isu itu, beliau mencadangkan beberapa langkah jangka pendek antaranya menyewa dua tapak kosong berhampiran hospital yang mampu menampung kira-kira 100 kenderaan, menyediakan perkhidmatan ulang-alik (shuttle) antara kawasan letak kereta sementara dan hospital dan melaksanakan pelan pengurusan tempat letak kereta yang tersusun bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi.
Chong menegaskan bahawa cadangan itu merupakan penyelesaian berkos rendah kerana hanya melibatkan perbelanjaan sewa dan tenaga kerja, serta memerlukan penyelarasan segera antara MPS dan agensi kerajaan berkaitan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengemukakan pelan berkenaan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas pilihan raya sekiranya kerajaan sedia ada kekal memerintah, bagi pelaksanaan sementara menunggu projek jangka panjang disiapkan.
“Penduduk Sandakan telah menunggu terlalu lama. Ini adalah inisiatif praktikal yang mengutamakan rakyat dan tidak boleh lagi dilengahkan oleh birokrasi,” katanya.



