Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD : “Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menunaikan impian saya dan arwah isteri,” demikian luahan Mohamad Ridzuan Kalbeh, 39.
Ridzuan yang bertugas sebagai seorang imam di Kota Belud mengakui rumah hasil bantuan Kerajaan negeri itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi menjadi simbol dan kenangan bersama arwah isterinya Siti Norahimah Abdul Hakim, 37, yang meninggal dunia akibat serangan asma sembilan bulan selepas mereka berpindah masuk.
“Saya dan arwah isteri memang mengimpikan rumah sendiri sejak awal perkahwinan.

“Sebagai imam kampung, pendapatan saya tidak mencukupi untuk membina rumah baharu, tapi kami tetap berdoa agar suatu hari nanti impian itu tercapai,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.
Ridzuan berkata, mereka berpindah masuk ke rumah berkenaan ketika ia masih 95 peratus siap, dengan hanya menggunakan lampu solar dan membawa air dari rumah keluarga sementara menunggu sambungan bekalan air serta elektrik diluluskan.
“Walaupun serba kekurangan, kami gembira. Arwah isteri saya sangat teruja menghias rumah ini. Saya tak sangka rumah ini akan menjadi tempat terakhir beliau menghembuskan nafas,” katanya.
Kini, rumah itu menjadi tempat penuh makna buat Ridzuan dan anak perempuannya yang berusia empat tahun.
“Setiap sudut rumah ini mengingatkan saya pada beliau. Tapi saya bersyukur kerana sempat menunaikan impian kami bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua proses permohonan Rumah SMJ dijalankan mengikut saluran yang betul dan telus, termasuk urusan dokumentasi di pejabat daerah.
“Ada pihak yang kata projek ini membazir, tapi bagi saya tidak sama sekali. Inilah bukti bahawa kerajaan benar-benar membantu rakyat B40.
“Projek seperti ini perlu diteruskan agar lebih ramai keluarga luar bandar dapat keluar daripada kemiskinan tegar,” tegasnya.
Ridzuan merupakan salah seorang daripada 40 penerima bantuan Rumah Mesra SMJ bagi DUN Tempasuk pada tahun 2025.
Setakat ini, sebanyak 20 buah rumah telah siap dibina, manakala selebihnya dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan. – SABAH MEDIA



