Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa senarai nama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi.
“Pengumuman calon saya ingat saya akan buat mungkin sekitar 11 atau 12 haribulan, tiga atau empat hari sebelum penamaan calon. Nama-nama calon telah dimuktamadkan, hanya tinggal pengumuman sahaja” katanya.
Tambah beliau, keputusan akhir mengenai calon adalah tertakluk kepada presiden parti masing-masing dalam gabungan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 4.0 kepada 42 anak muda di negeri ini yang menyertai program berkenaan, di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurut Hajiji, manifesto pula akan dilancarkan sehari atau dua hari selepas penamaan calon.
Ketika ditanya khabar mengenai berlaku ‘pelanggaran’ calon dalam kalangan parti gabungan, beliau berkata: “Belanggar sikit-sikit itu boleh lah… tidak apa.”
Beliau turut menyentuh tindakan segelintir individu yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan.
“Yang tidak dapat menjadi calon itu, dia fikir calon sahaja. Jadi bila tidak dapat, mereka ‘pergilah’. Jadi macam mana ini jadi pemimpin, pejuang.. Kita kena ada kualiti, bukan kerana tidak dapat calon kita merajuk, ‘pergi’… Jadi saya harap parti lain pun fikirlah ambil mereka,” katanya.



