PRN SABAH
HomeUtamaSabah bakal nikmati laluan moden, efisien menjelang tahun 2026

Sabah bakal nikmati laluan moden, efisien menjelang tahun 2026

Read Time:7 Minute, 51 Second

Kerajaan berhasrat untuk memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya demi merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Dalam Siri 1 lalu, laporan memaparkan bagaimana Pakej Kerja 5 bagi jajaran dari Donggongon ke Simpang Jalan Papar Spur sejauh 11.7 kilometer (km) yang telah siap sepenuhnya pada 8 Ogos 2024, memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Jambatan merentasi Sungai Abai yang telah siap.

Dalam siri ini, laporan mengetengahkan kemajuan pelaksanaan Pakej Kerja 6 (WP06) dari Putatan ke Inanam, Pakej Kerja 7 di jajaran Inanam hingga ke Sepanggar dan Pakej Kerja 8 bermula di Sepanggar hingga ke Bulatan Berungis. Turut disajikan, perkembangan serta kemajuan di Pakej Kerja 10 yang melibatkan jajaran sepanjang 32.2km dari Pituru ke Rampayan Laut.

Lingkaran Luar Kota Kinabalu (KKORR) Siap Mac Depan

Penolong Pengarah Cawangan Pembinaan dan Pemantauan, Ahmad Nazrul Madri yang juga wakil penguasa projek menjelaskan, tiga pakej utama sepanjang sepanjang 41.7km melibatkan Pakej Kerja 6 (WP06) Putatan–Inanam, Pakej Kerja 7 (WP07) Inanam–Sepanggar dan Pakej Kerja 8 (WP08) Sepanggar–Bulatan Berungis, Tuaran kini mencapai tahap kemajuan berbeza, masing-masing 93 peratus, 88 peratus dan 84.84 peratus.

Ahmad Nazrul Madri

Menurutnya, jajaran yang dinamakan Lingkaran Luar Kota Kinabalu atau Kota Kinabalu Outering Road (KKOR) itu bakal mengurangkan 30 peratus aliran trafik di pusat Bandaraya Kota Kinabalu apabila siap sepenuhnya kelak. Bagaimanapun, ujar Ahmad Nazrul, laluan utama Putatan sehingga ke Norowot dijangka dibuka kepada umum mulai Mac tahun depan.

“Kita jangkakan sebanyak 30 peratus daripada pengguna jalan raya akan menggunakan Pan Borneo, dari Ketiau hingga Berungis ataupun sebaliknya, dari daerah Tuaran ke daerah Putatan tanpa perlu masuk ke Kota Kinabalu. Sebahagian besar dari Pantai Timur dan juga utara Negeri Sabah juga boleh masuk ke pusat Bandaraya Kota Kinabalu melalui laluan yang baharu.

“Keseluruhan pakej ini kita jangkakan untuk laluan utama ini, kita boleh buka dalam Mac 2026. Laluan utama dari Putatan sehingga ke Norowot lebih kurang dalam 34km,” ujarnya.

Laluan WP10 yang menghubungkan beberapa pusat pelancongan yang menarik di Sabah.

Tambah Ahmad Nazrul, Pakej Kerja 6 dan 7 membabitkan pembinaan laluan baharu sepanjang 29.6km dari Putatan ke Sepanggar yang dibina sebagai jalan empat lorong dua hala (dual carriageway), sementara Pakej 8 dari Sepanggar ke Berungis sepanjang 11.7km dibangunkan sebagai enam lorong dua hala bagi menampung pertambahan trafik di kawasan perindustrian dan pelancongan sekitar Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Inanam.

“Pakej Kerja 6 dan pakej 7 adalah laluan baharu. Daripada Putatan sehingga ke Sepanggar sepanjang 29.6km, itu kita bina jalan baharu empat lorong dual carriageway dan daripada Sepanggar hingga ke Berunggis sepanjang 11.7km, kita akan bina enam lorong dual carriageway. Laluan ini antara laluan yang penting sebab laluan ini dari sebelah KKIP.

“Ia boleh menghubungkan terus kepada kawasan industri di kawasan Inanam. Ada laluan baharu sehingga kawasan industri di sebelah Lok Kawi. Jadi, laluan ini bukan setakat kepada industri, pelancongan juga.

“Sekarang, kita berada di kawasan-kawasan tumpuan pelancong maksudnya, yang paling hampir dengan Kota Kinabalu, Kokol. Untuk pergi Kokol, di bawah tu kita sudah bina Lebuhraya Pan Borneo yang boleh directly naik ke Kokol tidak perlu melalui Inanam,” kata beliau ketika ditemui media.

Infrastruktur Kurangkan Banjir Diberi Perhatian

Dalam pada itu, ujar Ahmad Nazrul, infrastruktur pencegahan banjir turut diberi perhatian dalam reka bentuk lebuh raya. Di kawasan Kolopis (Pakej 6), tiga unit Vehicular Box Culvert (VBC) bersaiz tiga meter telah dibina bagi mempercepatkan aliran air semasa hujan lebat, sekali gus membantu mengelakkan berlakunya banjir termenung. Langkah terbabit diharap dapat mengurangkan impak banjir yang sering menjejaskan penduduk di kawasan rendah sekitar Kolopis dan KKIP.

“Ada pembinaan culvert di Pakej Kerja 6 di kawasan Kolopis, kita ada tiga VBC yang kita bina bukan setakat boleh menjadikan laluan asal itu berfungsi, tetapi juga boleh membantu dalam memberikan kecepatan air banjir surut.

“Untuk banjir ini, kita tidak dapat elak sekiranya kita punya sungai sudah naik. Tetapi kita boleh bantu air itu tidak bertakung di tempat yang sama terlalu lama dan tidak jadi banjir termenung. Untuk sistem di sepanjang Kolopis dan juga di kawasan KKIP Sabah, kita telah bina 3 metres box culvert untuk laluan air,” dedah beliau.

Jajaran Pituru – Rampayan Laut Bawa Khabar Gembira

Sementara itu, Jurutera Awam Pakej Kerja 10 Pituru – Rampayan Laut (WP10), Aarol Izmi Zamani pula mendedahkan, pakej tersebut  bakal membawa berita gembira kepada masyarakat apabila kemajuan projek kini mencecah 98.68 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Aarol Izmi

Pakej Kerja 10 yang bermula pada 2 Disember 2019 dengan kos kontrak bernilai RM459.2 juta itu mengandungi tiga struktur jambatan utama iaitu Jambatan Sungai Abai, Jambatan Tempasuk dan Jambatan Kawang-Kawang, selain pembinaan kemudahan lay-by yang dilengkapi surau dan tandas untuk para pengguna LPB.

“Untuk peratus siap, terkini kita sudah capai 98.68 peratus yang mana ada sedikit lagi tinggal dan InsyaAllah kita berharap kita akan dapat siapkan projek ini pada penghujung tahun ini dan dibuka kepada public. Untuk pakej ini, ada tiga struktur utama yang besar iaitu jambatan. Kita ada skop untuk lay-by yang menyediakan surau dan tandas sahaja. Dia bukan RNR yang ada skala besar, ini hanya untuk surau dan tandas sahaja, tandas lelaki dan perempuan, tempat stop sahaja,” ujarnya.

Laluan WP10 Pituru – Rampayan Laut telah siap lebih 98 peratus.

Tambahnya, pakej itu bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 20 kampung melibatkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 penduduk, manakala manfaat tidak langsung dijangka dirasai oleh lebih 100,000 penduduk dari Tuaran hingga Kudat. Apabila siap sepenuhnya, jarak perjalanan Tuaran ke Kudat akan berkurang daripada 184km kepada 125km, dengan penjimatan masa antara 30 hingga 60 minit.

“Jarak sebelum ini ialah 184km dari Tuaran ke Kudat dapat dikurangkan ke 125km iaitu daripada Pakej Kerja 9 di Tuaran lebih tepat Kampung Serusup sehingga ke Simpang Mengayau. Pastinya, ia akan membuka sektor-sektor yang kita jangka akan berkembang selepas ini seperti perikanan, pelancongan dan juga pertanian.

“Masa yang kita jangka dapat secara dibuka kepada kampung sekiranya dia siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Tetapi, untuk jangka masa terdekat ini, mungkin kita boleh buka sekiranya mendapat Certificate of Partial Occupation (CPO) dan sekiranya kerja-kerja struktur utama telah siap dalam penghujung bulan November ini,” jelas Aarol Izmi.

Denyut Nadi, Harapan Rakyat

Ketua Kampung Tindai Kolopis, Verus Niun yang mewakili 3,000 penduduk berharap pembangunan sosioekonomi rakyat meningkat dan isu aliran trafik juga dapat diselesaikan dengan siapnya jajaran terbabit, di samping mahu terus bekerjasama dengan kerajaan menerusi penubuhan Kolopis Task Force.

“Kolopis Task Force untuk membantu kami bersuara dan menambah baik perkhidmatan kami kepada pihak kerajaan supaya kami semua melalui saluran yang betul,” ujar Verus.

Verus Niun

Sementara itu, Ketua Kampung Serapung Peter Jipiu yang memuji komitmen kerajaan dalam membangunkan taraf infrastruktur sekali gus mensejahterakan rakyat. Namun, dalam masa sama, beliau mahu penyelenggaraan sistem perparitan dilaksanakan sebaiknya untuk mengurangkan risiko banjir yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

“Pan Borneo ini memang beri kesenangan kepada rakyat. Ini menunjukkan kerajaan kita bersungguh-sungguh membantu rakyat di sini, memudahkan kerja dan juga menarik pelabur dari luar masuk ke kawasan ini, senang cari kerja dan memendekkan perjalanan yang jauh. Harap-harap dengan ada perparitan yang menyusuri jalan Pan Borneo ini, sekurang-kurangnya banjir tidaklah selalu berlaku,” katanya penuh berharap.

Manakala, Ketua Kampung Madsiang, Reset Lamas menyatakan sokongan penuh terhadap projek mega itu menerusi kerjasama rapat di antara kontraktor pelaksana dengan komuniti tempatan.

“Pihak kontraktor ada beberapa kali datang memberi taklimat, memaklumkan tentang perkembangan projek dari masa ke semasa. Mereka juga menerima pandangan serta cadangan penduduk kampung sekiranya ada hal yang perlu diutarakan umpamanya jalan kampung dan parit-parit yang tersumbat dan mereka sentiasa terbuka untuk menerima dan memberi bantuan,” jelas Reset.

Di Jajaran Pakej 10, Ketua Kampung Rampayan Laut, Juan Datu Samsul pula memaklumkan penduduk amat menghargai usaha kerajaan yang menyediakan kemudahan berkualiti dan mempercepatkan aktiviti ekonomi tempatan.

“Kami sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan. Kami rasa sangat beruntung kerana dulunya kami ke Pekan bawa hasil-hasil nelayan makan masa satu jam lebih kurang. Jadi, selesainya jalan Pan Borneo ini, kami dapat ada keringanan sikit kerana perjalanan kami 20 minit saja,” ujar Juan.

Senada dengan Juan, Ketua Kampung Buah Pandai, Tusalleh Mandangan, 61, turut berkongsi pandangan positif apabila ramai penduduk mula membuka gerai dan perniagaan kecil di sepanjang laluan baharu, sekali gus menjana ekonomi kampung.

“Sejak terbinanya Lebuhraya Pan Borneo ini, banyak orang kampung mendapat peluang menambah ekonomi keluarga terutama dari Kuala Abai ke Rampayan, kita nampak banyak gerai. Dengan kerana ramai pelancong dari China singgah lagipun sekarang ini di kawasan Kampung Kastum Lok Liah sudah ada jambatan,” kata Tusalleh.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, walaupun berdepan kelewatan, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila beberapa pakej utama yang membentuk Lingkaran Luar Kota Kinabalu. Dengan pelaksanaan yang kini menghampiri tahap siap 90 hingga 99 peratus bagi pakej-pakej utama di Pakej Kerja 7, Pakej Kerja 8 dan Pakej Kerja 10, ia akan memperkukuh jaringan jalan raya negeri sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri, pelancongan dan pertanian di seluruh pantai barat dan utara Sabah.

Malah, lebih banyak pakej kerja LPB Sabah akan siap pada tahun depan. Apa yang pasti, projek tersebut bukanlah sekadar omong kosong, tetapi komitmen kerajaan hari ini memastikan rakyat Sabah bakal menikmati laluan moden, selamat dan efisien menjelang tahun 2026 seiring dengan matlamat dan teras utama Malaysia Madani. –LAPORAN KHAS JABATAN PENERANGAN SIRI 2

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular