Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Seramai 455 pelajar SPM dan STPM dari tiga buah sekolah menengah di daerah ini menerima sumbangan alat tulis dan kalkulator daripada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.
Daripada bilangan itu seramai 233 orang dari SMK Nabawan, 122 orang SMK Nabawan II dan 100 orang SMK Sepulut.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan Ag. Azuan Pg. Hamzah mewakili Abdul Ghani sempena Program Motivasi Kecemerlangan SPM & STPM anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling Kerjasama Unit Pengajian Am SMK Nabawan Dengan Sokongan Dan Tajaan Oleh Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.
Azuan ketika ditemui selepas program itu berkata, program seperti ini sememangnya amat penting dalam
membina jati diri dan semangat belajar dalam kalangan pelajar khususnya untuk calon pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Katanya, kejayaan tidak datang dengan mudah ia menuntut dispilin, usaha gigih, dan kesungguhan yang berterusan.
“Semoga program ini memberi inspirasi dan dorongan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tidak hanya diukur dengan keputusan peperiksaan, tetapi juga dengan nilai diri, kejujuran, dan semangat tidak mudah putus asa.
Tambahnya, jadikan program ini sebagai titik permulaan untuk berubah ke arah yang lebih baik, lebih fokus dan lebih berdispilin.
Terdahulu Penasihat Akademik & Kerjaya
Kolej MASHA Yusuf Hasni menyampaikan ceramah Motivasi Kecemerlangan SPM & STPM kepada pelajar.



