Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kelab Rakan Muda (KRM) Tawau mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Badan Operasi Terbaik sempena Majlis Penganugerahan dan Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas 2025.
Pengiktirafan tersebut diberikan atas komitmen KRM Tawau dalam menyelaras pelbagai program serta aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia, selain berjaya melahirkan penerima ARPRM Tahap Emas terbanyak bagi tahun 2025.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
Dalam majlis itu, seramai 20 orang remaja dari Tawau ditauliahkan ARPRM Tahap Emas setaraf dengan The Duke of Edinburgh’s International Award yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kelab Rakan Muda Tawau, pelajar SMK Tawau, SMK Jalan Apas Tawau, serta pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tawau dan IPGM Gaya.
Hadir mengiringi para peserta ialah Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Noorman Ramlan bersama dua pemimpin dan mentor ARPRM Emas KRM Tawau, Alex Dennis dan Nursayfaesyah Foo Mohd Sayful.
Penasihat Kelab Rakan Muda Tawau, Alex Dennis berkata, pengiktirafan ini merupakan hasil kerjasama erat antara ahli kelab, pihak sekolah dan agensi belia di Sabah dalam membimbing remaja mencapai potensi diri secara holistik.
“Program ARPRM memberi peluang kepada remaja untuk mencabar diri, membina disiplin serta menanam nilai kepimpinan dan semangat sukarelawan. Kejayaan ini adalah bukti bahawa remaja Tawau juga mampu menyerlah di peringkat kebangsaan,” katanya.
Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) diadaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s International Award yang diasaskan di London.
Ia memberi pengiktirafan kepada remaja berumur 14 hingga 24 tahun atas penglibatan aktif dalam aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan diri tanpa elemen pertandingan dan dengan penekanan terhadap pencapaian peribadi.
ARPRM ditawarkan dalam tiga tahap iaitu Gangsa, Perak dan Emas dan kini diiktiraf di lebih 144 negara di seluruh dunia, menjadikannya salah satu program pembangunan belia antarabangsa paling berprestij.



