KUALA LUMPUR : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah merangka beberapa strategi bagi merancakkan pengeluaran bahan makanan secara domestik di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, strategi di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import.
“Antaranya termasuklah merancakkan usaha penerimagunaan teknologi moden dan Industri Revolusi 4.0 (4IR) selain galakan kerjasama dengan sektor swasta menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (Program SMART SBB).
“Strategi yang dilaksanakan MAFI turut melibatkan penubuhan agensi khusus seperti Lembaga Ruminan Negara (LRN), memperluas aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti di kawasan-kawasan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penggulungan perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat disini kelmarin.
Dr Ronald berkata, pihaknya turut memperkasa penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan untuk menghasilkan baka dan benih yang berimpak tinggi dan menggalakkan penyelidikan berteraskan pembangunan makanan alternatif yang berpotensi sebagai pengganti kepada beras dan keperluan diet.
Katanya, ini termasuk pembangunan makanan alternatif ternakan serta meningkatkan kempen-kempen pemakanan sihat yang mempromosikan komoditi makanan yang dikeluarkan secara tempatan.
“Pada tahun 2020, import makanan mencatat nilai RM55.4 bilion berbanding RM51.4 bilion pada tahun 2019 terutamanya bagi memastikan bekalan makanan domestik terjamin dalam tempoh pandemik COVID-19.
“Antara bahan makanan yang menyumbang kepada nilai import yang tinggi termasuk bijirin dan sediaan bijirin; kopi, koko, teh, rempah dan keluaran; keluaran dan sediaan makanan lain; daging; hasil tenusu; makanan ternakan; sayur-sayuran; dan buah-buahan,” katanya.
Katanya, perangkaan ini juga meliputi import 30 peratus beras serta sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana dari luar negara untuk memenuhi keperluan tempatan.
“Namun, kebergantungan terhadap sumber import ini perlu ditangani secara strategik bagi memastikan sistem makanan negara tidak terjejas oleh sebarang gangguan dalam perdagangan antarabangsa khususnya bekalan daripada negara sumber import,” katanya.