Oleh J Evachel John
PUTATAN: Aspirasi meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat menjadi fokus utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Shah Alfie Yahya, dalam kempen beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Menurut Shah Alfie, agenda itu penting kerana masyarakat perlu beralih daripada bergantung kepada peluang kerja kepada mencipta peluang baharu.
“Selaras dengan salah satu visi kita iaitu aspirasi meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat.
“Ini adalah misi peribadi kita. Untuk benar-benar mempergiatkan ekonomi, kita perlu mengubah ‘mindset’ daripada pencari kerja kepada pencipta kerja.
“Inilah idealogi keusahawanan yang akan saya terapkan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi tinjauan mesra atau ‘walkabout’ di Tamu Putatan dan perkarangan kedai pekan Taman Jumbo, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat, Ir. Ummar Ariff Abu Bakar.
Shah Alfie, yang juga calon nombor tujuh, berkata program turun padang itu antara lain memberi gambaran jelas mengenai keadaan ekonomi peniaga kecil di kawasan tersebut.
“Hasil ‘walkabout’, kita mendapati ramai peniaga menjadikan hari-hari cuti sebagai usaha meningkatkan hasil jualan dan ada juga mengambil kesempatan menjana pendapatan sampingan.
“Kami juga melakukan tinjauan rapat untuk mengetahui isu atau permasalahan yang ada, namun Alhamdulillah, semua agak berpuas hati dengan fasiliti yang ada.
“Insyallah kita akan sentiasa menyantuni mereka dan selaras dengan salah satu visi kita iaitu aspirasi memperkukuh aktiviti ekonomi belia dan masyarakat, “katanya.




