PRN SABAH
HomeUtamaPengetua sekolah nafi larang ibu Zara lapor polis

Pengetua sekolah nafi larang ibu Zara lapor polis

Read Time:2 Minute, 36 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pengetua SMKA Tun Mustapha menafikan dakwaan bahawa beliau menyarankan ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir agar tidak membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anaknya.

Shaharoom Hashim, 51, yang memberi keterangan dalam inkues kematian Zara berkata beliau hanya memaklumkan kepada ibu Zara bahawa pihak sekolah telah pun membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Saksi ke-47 itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam ibu Zara, Shahlan Jufri di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam: Sila rujuk perenggan 6 (kenyataan saksi). Kamu tidak menyarankan ibu Zara untuk membuat laporan polis sebab pihak sekolah sudah membuat laporan polis?
Saksi: Tidak

Peguam: Ini ibu zara maklumkan kepada kami, semasa berada di hospital ada orang di depan wad kecemasan beritahu ibu Zara “nanti kau buat laporan polis”. Selepas itu ibu Zara pergi jumpa dengan pengetua dan bertanya seperti ini: “Puan, perlukah saya buat laporan polis?” Reaksi cikgu adalah seperti ini: “tak payahlah buat laporan, ketua warden dah buat laporan polis.” Reaksi cikgu diikuti dengan tindakan cikgu membelai ataupun menyentuh bahu ibu Zara. Ini yang diceritakan oleh ibu Zara kepada kami. Adakah ini yang berlaku semasa di hospital?
Saksi: Tidak.

Peguam: Boleh ceritakan apa sebenarnya yang jadi antara cikgu dengan ibu Zara di hospital.
Saksi: Setelah ibu Zara sampai dan kami dibenarkan untuk melawat Zara di dalam. Ketika itu ibu dia berulang alik ditemani oleh pegawai lain. Kemudian dia keluar dan berkata kepada saya bahawa pandangan orang terdekat menyarankan untuk dia buat laporan polis. Jadi, saya hanya menyatakan pihak sekolah sudah juga buat. Itu Sahaja.

Peguam: Masa berinteraksi dengan ibu Zara, cikgu ada membelai atau menyentuh bahu ibu Zara?
Saksi: Tiada

Terdahulu dalam kenyataan saksinya, Shaharoom berkata dia tiba di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam lebih kurang 5.30 pagi pada 16 Julai lalu manakala ibu Zara tiba di QEH sekitar 9.30 pagi.

Menurut Shaharoom yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, ketika ibu Zara tiba di QEH, beliau berjumpa dengannya dan bertanya sama ada beliau datang bersendirian, memandangkan pada waktu itu beliau hanya melihat ibu Zara seorang diri.

“Saya juga ada bertanya kepadanya “Suami mana?”, lalu dia menjawab “Suami saya sakit”. Kemudian kami pun dibenarkan masuk ke Unit Kecemasan (ICU) untuk melawat Zara bersama-sama. Selepas beberapa minit, kami pun keluar dari unit kecemasan tersebut.”

Tambahnya: “Pada jam lebih kurang 10 pagi, ibu Zara memberitahu saya dengan berkata “Pandangan daripada orang yang dekat dengan dia menyarankan agar dia buat laporan polis”. Saya pun memaklumkan kepada ibu Zara dengan menjawab “Pihak sekolah pun dah buat laporan polis atas arahan daripada Doktor Janefer”. Selepas itu, kami pun terus menunggu di luar unit kecemasan.”

Zara Qairina tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum ahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.

Ibu Zara turut diwakili oleh Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Pasukan Pegawai Pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

RELATED ARTICLES
Utama

PM zahir takziah atas pemergian Bung Moktar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular