Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Japlin Akim menyatakan tidak gentar dengan cabaran meskipun berdepan persaingan sengit enam penjuru pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17.
Japlin berkata, meskipun pertembungan itu turut melibatkan dua bekas wakil rakyat Usukan serta seorang Ahli Parlimen Kota Belud, beliau tidak gentar kerana percaya setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri.
“Lima calon lain memang memberi cabaran hebat, khususnya dengan kehadiran bekas wakil rakyat dan Ahli Parlimen. Namun saya yakin masyarakat Usukan sudah matang menilai.
“Walaupun saya bukan penyandang, saya satu-satunya calon yang mewakili kerajaan negeri terkini. Rakyat sendiri boleh melihat pelbagai impak positif di bawah pentadbiran GRS dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS untuk DUN Usukan dan DUN Tempasuk di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Japlin menegaskan hasratnya untuk mengembalikan kegemilangan Kota Belud sebagai pusat pertanian dan penternakan utama negeri jika diberikan mandat.
“Sekiranya diberi kepercayaan, saya mahu mengangkat semula sektor pertanian dan penternakan yang suatu ketika dahulu menjadi nadi ekonomi kawasan ini.
“Selain itu, penyertaan belia dalam sektor tempatan juga akan diberi penekanan. Saya mahu melihat anak muda berjaya, sama ada dalam industri kecil dan sederhana atau sebagai usahawan tempatan yang berdaya saing,” ujarnya.
Japlin turut menekankan fokusnya terhadap penyelesaian masalah asas yang sekian lama membelenggu penduduk Usukan. – SABAH MEDIA



