Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Rancangan untuk memindahkan Klinik Kesihatan Likas ke lokasi yang lebih luas menerusi ‘land swap’ menjadi antara manifesto terbaharu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi.
Katanya, lokasi itu kini dilihat semakin kecil berikutan pertambahan penduduk yang menerima rawatan di klinik berkenaan.
“Kita sedang merancang untuk membuat satu ‘land swap’ di kampung Likas melibatkan Klinik Kesihatan Likas yang semakin kecil.
“Jadi apa yang kita buat kita akan buat satu ‘land swap’ dimana klinik ini akan dipindahkan ke tapak yang lebih besar. Itu dibawah topik kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima penyertaan seramai 300 ahli Parti Warisan Sepanggar ke Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Kampung Kalansanan Laut di sini pada Selasa.
Selain mahu melaksanakan ‘land swap’, Razali merancang untuk melaksanakan beberapa pembaharuan lain di DUN Darau.
Ia termasuklah mewujudkan Majlis Pengurusan dan Pembangunan Kampung sebagai saluran komunikasi untuk pemimpin kampung seperti ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), aktivis badan bukan kerajaan (NGO) dan belia membincangkan isu setiap kampung.
“Jadi, kita akan dapat mengurus kampung secara telus, tidak lagi orang cakap kita buat mesyuarat di rumah dan saya sendiri akan mempengerusikan majlis ini.
“Kita juga akan wujudkan pusat belia di setiap kampung dan kita akan tambahkan program-program keusahawanan belia bagi membantu mereka,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Razali berkata, sebagai anak tempatan di kawasan berkenaan, beliau akan memahami kehendak dan aspirasi penduduk di DUN Darau.
“Saya orang sini, saya faham kehendak dan aspirasi orang sini. Jangan susah hati, tidak ada calon import, inilah Bob,” katanya.
“InsyaAllah kalau kamu beri kepercayaan kepada saya, saya akan buat sebaiknya dengan ikhlas,” katanya. – SABAH MEDIA



