Oleh Raul G
TAMPARULI: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface menawarkan lima pelan tindakan teras perjuangan yang kukuh dan komprehensif untuk dilaksanakan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, pelan tindakan dengan slogan ‘Komuniti Bersatu, Tamparuli Maju’ bukan sekadar kata-kata, sebaliknya adalah matlamat yang diperjuangkan menerusi pelan tindakan untuk dicapai bersama.

Menurutnya, antara tawaran yang diberikan adalah, Pembangunan Ekonomi dan Inovasi. Menjana ekonomi setempat melalui pemodenan keusahawanan dan inovasi yang memfokuskan kepada agropelancongan produk komuniti dan peranan wanita.
Pembangunan Modal Insan dan Belia. Melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta berdaya tahan di mana golongan belia adalah keutamaan dengan memastikan mereka sedia memimpin masa hadapan Tamparuli.
Pembangunan Infrastruktur dan Digital. Menyediakan infrastruktur asas menyeluruh serta merapatkan jurang digital dengan kemudahan moden dan mampan untuk semua.
Pemeliharaan alam sekitar, kebudayaan dan Tradisi. Memastikan pembangunan mampan seiring memelihara alam sekitar, kebudayaan dan tradisi budaya yang menjadi teras identiti serta produk pelancongan
Tadbir Urus dan Penyertaan Komuniti. Mengamalkan tadbir urus yang telus, cekap dan berintegriti berasaskan penyertaan aktif komuniti. Suara penduduk akan didengar dalam memastikan pembangunan diagihkan secara adil.
Beliau berkata, pelan tindakan berkenaan dilaksanakan sekiranya diberi mandat, menerusi lima teras perjuangan kukuh dan komprehensif.
“Demikian, adalah komitmen saya kepada penduduk jika berjaya memenangi kerusi Tamparuli pada pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pada Sesi Walkabout di Tamu Pekan Tamparuli, pagi hari ini.
Tambahnya, ia bukan sekadar manifesto, namun pelan kerja yang menawarkan kepakaran, pengalaman dan komitmen dalam melaksanakan setiap misi untuk Tamparuli.
Sehubungan itu, Dr Bonaventure mengakui memerlukan sokongan semua pihak untuk merealisasikan matlamat itu ke arah kemajuan Tamparuli. – SABAH MEDIA



