PRN SABAH
HomePRNN.08 PINTASANPRU Sabah : Hak tanah penduduk, pelancongan jadi agenda utama Pandikar di...

PRU Sabah : Hak tanah penduduk, pelancongan jadi agenda utama Pandikar di Pintasan

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Tan Sri Pandikar Amin, bertekad untuk mengembalikan hak tanah penduduk kampung di kawasan berkenaan, yang dipercayai telah diambil alih oleh pihak lain tanpa pengetahuan mereka.

Menurut Pandikar, tanah seluas 9,000 ekar di sekitar Kampung Sarang kini menjadi isu utama kerana penduduk mendakwa mereka telah menetap lebih awal sebelum beberapa program pertanian dan projek oleh Sabah Forest Industries (SFI) dilaksanakan.

“Penduduk setempat ada memaklumkan bahawa mereka terlebih dahulu menetap di kawasan ini sebelum kemasukan projek oleh Sabah Forest Industries.

“Sekiranya saya berada dalam Kabinet, saya akan mencadangkan kajian semula penggunaan tanah ini agar hak penduduk dapat dikembalikan dan mereka boleh bercucuk tanam semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sabah Media semasa jelajah kempen beliau di Kampung Dudar di sini pada Jumaat.

Pandikar berkata, sekiranya projek pembangunan diteruskan, penduduk seharusnya mendapat manfaat secara adil, termasuk peluang pekerjaan dan perkongsian hasil melalui yayasan atau program komuniti.

“Jika tanah ini adalah hak penduduk kampung, wujudlah perkongsian hasil daripada projek berkenaan, contohnya dalam bentuk yayasan untuk kegunaan komuniti,” jelasnya.

Selain isu tanah, Pandikar turut menekankan potensi besar industri pelancongan di DUN Pintasan kerana kedudukannya yang strategik di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata sebelum pandemik Covid-19, kawasan pantai Pintasan menarik ribuan pelancong yang ingin menyaksikan panorama matahari terbenam dan keindahan malam di sepanjang sungai yang dihiasi kelip-kelip.

“Kami berhasrat memperhebatkan industri pelancongan di kawasan ini untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan,” tambahnya.

Pandikar kini meneruskan jelajah kempen di seluruh kawasan DUN Pintasan bagi mendengar maklum balas penduduk serta menyuarakan cadangan pembangunan yang berpaksikan kepentingan komuniti setempat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PM zahir takziah atas pemergian Bung Moktar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular