Oleh Mu Vitet
SUKAU: Seramai 56 penduduk dari Kampung Tidung II dan Kampung Dagat menerima geran tanah adat mereka selepas menunggu selama tiga dekad.
Perkara itu direalisasikan hasil kerjasama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Sukau, Dato’ Juhari Janan, bersama Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
Penduduk melahirkan rasa gembira, khususnya mereka yang telah menunggu sehingga dua generasi untuk memiliki tanah sendiri.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak pernah gagal dalam memberi khidmat kepada rakyat,” kata Juhari, yang berdepan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 ini.
Beliau berkata Ketua Menteri sentiasa mengambil berat kesejahteraan rakyat, dan pemilikan tanah adalah antara cara utama untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Juhari turut menegaskan komitmen kerajaan GRS untuk terus membantu komuniti luar bandar mendapatkan akses kepada tanah, yang penting dalam membina masa depan lebih baik serta memperkukuh pembangunan setempat.
Turut hadir ialah Ketua Daerah, Ramsah Jakaria, serta wakil-wakil daripada bahagian GRS Sukau.



