PRN SABAH
HomePRNN.67 BALUNGCalon GRS Syed Ahmad bawa penyelesaian berfasa isu infra di Balung

Calon GRS Syed Ahmad bawa penyelesaian berfasa isu infra di Balung

Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh  Ahmad Husnayan

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Syed Ahmad Syed Ali, berikrar membawa pendekatan penyelesaian berfasa bagi menangani isu-isu kritikal yang membelenggu kawasan itu, sekiranya diberikan mandat rakyat.

Menurut beliau, isu asas seperti air, elektrik, jalan dan lampu jalan kekal menjadi rungutan utama penduduk, dan beliau mengambil pendekatan mendengar keluhan rakyat secara terus melalui program jelajah dan ceramah di sekitar Ranggu.

“Isu di Balung ini bukan mudah untuk diselesaikan kerana sebahagian berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Namun, kerajaan negeri juga ada perancangan jangka panjang. Saya sendiri ada cadangan jangka pendek bagi isu air untuk beberapa kawasan terjejas, insya-Allah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa bagi isu lampu jalan dan sebahagian jalan raya yang di bawah kuasa kerajaan Persekutuan, segala tindakan akan tertakluk kepada keputusan pihak berkenaan.

“Lampu jalan ini bukan di bawah negeri, begitu juga sebahagian jalan. Kalau jalan itu di bawah negeri, kita akan cari punca kerosakan dahulu.

“Selalunya orang repair, rosak, repair… jarang orang tanya kenapa ia rosak. Itu persoalan sebenar,” katanya.

Sebagai calon muda pertama kali bertanding, Syed Ahmad berkata beliau membawa semangat bekerja bersungguh-sungguh dan komited menyiapkan setiap tugasan sehingga selesai.

“Bila diberi tanggungjawab, saya buat sehabis baik sampai siap. Itu prinsip saya,” katanya.

Beliau juga yakin dengan kekuatan jentera GRS dan sokongan tokoh berpengaruh tempatan, termasuk bekas ADUN Balung, Datuk Hamild, Datuk Nizam serta bapanya, Datuk Seri Syed Abbas Syed Ali, untuk memastikan strategi menawan hati pengundi berjaya.

Selain itu, Syed Ahmad menekankan perhatian khusus terhadap golongan belia, yang majoritinya memerlukan peluang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan sukan.

“Belia ini penting. Untuk menawan hati mereka, kita ada strategi step by step. GRS komited memastikan suara dan keperluan belia tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan sistematik ini diharap mampu meyakinkan pengundi Balung terhadap kesungguhan dan komitmen beliau.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menawan hati rakyat Balung,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular