PITAS: Seramai 40 ahli daripada Warisan dan Umno di Kampung Saab Darat mengambil keputusan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selepas mendakwa kedua-dua parti itu gagal menyatupadukan penduduk kampung serta lebih mengutamakan kepentingan peribadi.

Mantan Ketua Kampung Saab Darat, Amat Lasun, berkata Warisan dan Umno didakwa tidak mampu mewujudkan kesepaduan kerana wujud sikap mementingkan diri serta budaya berpuak-puak.
Menurutnya, pembentukan cawangan baharu tanpa melibatkan pemimpin lama yang sudah lama berjuang, termasuk dirinya, menyebabkan mereka berasa diketepikan.
“Pemimpin lama seperti kami seolah-olah tidak dipedulikan. Mereka hanya memberi perhatian kepada orang baharu sedangkan kami sudah bertahun-tahun menyokong Umno dan Warisan,” katanya ketika berucap dalam pertemuan mesra bersama calon GRS di kampung berkenaan.
Amat Lasun turut menegaskan isu asas seperti ketiadaan kemudahan paip air tidak pernah diberi perhatian oleh pemimpin Umno mahupun Warisan, sebaliknya hanya menabur janji manis kepada penduduk.
Beliau berkata keputusan menyertai GRS dibuat bersama 40 ahli keluarga dan penduduk lain, selepas melihat kesungguhan Calon GRS bagi kawasan itu, Ruddy Awah, yang disifatkan sebagai pemimpin prihatin dan berupaya menyelesaikan masalah setempat.



