Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kemasukan berterusan ahli dari pelbagai parti sejak beberapa hari kebelakangan ini menjadi petunjuk jelas bahawa keyakinan rakyat terhadap hala tuju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin meningkat, kata calon DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau menjelaskan, GRS menerima tiga cawangan baharu, masing-masing melibatkan ahli daripada UMNO, PBRS dan komuniti Tionghoa.
Menurutnya, perkembangan ini menunjukkan rakyat semakin yakin dengan perjuangan GRS serta kestabilan politik yang ditawarkan oleh gabungan tersebut.
“Momentum kemasukan ahli baharu ini jelas mencerminkan bahawa rakyat mahu kestabilan politik terus terpelihara dan kerajaan fokus kepada pembangunan serta kemajuan Sabah,” katanya ketika ditemui dalam program Ceramah Perdana di UU Bay Tinagat, malam tadi.

Dalam ceramahnya, beliau turut menekankan kepentingan penyampaian maklumat tepat kepada pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah atau kempen politik berbentuk peribadi.
Ditanya mengenai pendekatan untuk menarik pengundi muda, termasuk pengundi kali pertama berusia 18 tahun, Nizam berkata pendekatan berbentuk aktiviti santai lebih berkesan berbanding ceramah tradisional.
Menurutnya, antara program yang dijalankan ialah sukaneka di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta perlawanan persahabatan pickleball di Futsal Tawau, yang menurut beliau menerima sambutan memberangsangkan daripada belia.
“Selain itu, jentera turut melaksanakan lawatan dari rumah ke rumah dan merancang sesi khusus bersama pengundi muda hujung minggu ini.
“Di DUN Apas, pengundi kali pertama merangkumi sekitar 28 peratus. Bagi memastikan mereka dapat pulang mengundi, inisiatif telah diusahakan untuk membantu mahasiswa kembali pada hari pengundian,” jelasnya.



