TAMBUNAN : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tambunan Datuk Victor P Paut menawarkan manifesto ‘istimewa’ kepada rakyat kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 nanti.
Katanya, tawaran itu adalah menerusi manifesto khas 100 hari yang direka khusus untuk memenuhi keperluan segera rakyat kawasan itu.
Menurutnya, idea manifesto itu lahir daripada pengalamannya selama tiga tahun sebagai Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, di mana beliau meneliti keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Ini adalah manifesto khas, tawaran istimewa untuk rakyat Tambunan.
“Saya berharap rakyat akan memberikan sokongan penuh kepada GRS di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri siri jelajah calon GRS DUN Tambunan di sini pada Sabtu.
Victor berkata, manifesto 100 hari itu hanya merupakan sebahagian daripada rancangan besar lima tahun yang bertujuan membawa transformasi lengkap ke Tambunan.
“Manifesto 100 hari ini untuk memenuhi keperluan segera rakyat. Yang lima tahun nanti lebih besar lagi, akan mentransformasikan Tambunan ke era moden dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji jangka pendek pihak lain, seperti bekalan kerusi atau solar, yang hanya menumpu pada projek kecil dan tidak menampakkan transformasi sebenar.
Victor turut menegaskan bahawa visinya adalah untuk membangunkan Tambunan secara menyeluruh, dengan perancangan strategik yang memanfaatkan pengalaman tempatan serta keperluan rakyat sebagai fokus utama. – SABAH MEDIA



