Oleh: Raul G
TAMPARULI: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface,mahu mentransformasikan Tamparuli sebagai kawasan mesra belia yang berdaya saing sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas pensyarah, beliau berhasrat membangunkan Institut Kemahiran Belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli bagi memperkasakan kemahiran belia.
“Kita akan melihat tentang keperluan-keperluan yang diminta di kawasan ini seperti bengkel kereta, bengkel motosikal, membuat kek dan sebagainya,
“Industri yang kita lihat kecil tetapi sebenarnya mampu membantu belia melalui sumber pendapatan,” katanya ditemui selepas Kempen Jelajah Mega Tamparuli GRS di tapak Tamu Pekan Tamparuli di sini, hari ini.
Kempen berkenaan turut dihadiri calon GRS DUN Sulaman yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan calon GRS DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Menurutnya, selain manifesto yang dibawakan, perkara itu (keperluan belia) bukan sekadar pembangunan yang tertumpu terhadap keperluan penduduk Tamparuli tetapi juga penyelesaian isu-isu asas yang dihadapi termasuklah golongan belia.
“Kemahiran itu kita akan perkasakan lagi seperti pada sijjl kemahiran yang pernah ditawarkan seperti tahap satu, dua dan tiga”.
“Saya pasti dengan kemahiran sedia ada, kita dapat bantu belia berkembang, membangun dan menjadi usahawan yang berjaya,” ujarnya.
Selain Dr Bonaventure Boniface mewakili GRS, turut bertanding di DUN Tamparuli adalah Jinitoh Sontori (STAR), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Julia Ongkili (Parti Impian Sabah), Joseph Lee @ Lee Han Kyun (Warisan), Dr Gaim @ James Lunkapis (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).
Selain itu, Parti Kerjasama Anak Negeri meletakkan Arthur Erik Lee manakala Parti Rumpun mencalonkan @ Abdul Aziz.
Lima calon Bebas lain memberi tentangan masing-masing Vun Yun Fook, Samson S. Koroh @ Razali Suffian, Johan Jahid, Andrew Mali, serta Raymond Alfred @ Jenry.



