Oleh J Evachel John
PUTATAN: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Shah Alfie Yahya, menerima sambutan positif daripada pengundi muda di DUN Tanjung Keramat yang melihat beliau sebagai pemimpin baharu berpotensi membawa perubahan besar kepada pembangunan di kawasan itu.
Golongan belia menyifatkan kehadiran Shah Alfie sebagai peluang mempercepat agenda kemajuan setempat melalui idea yang lebih segar dan selari dengan realiti cabaran anak muda hari ini.
Pasangan kembar Aima dan Aimie Marajan, 23, berkata calon muda wajar diberikan ruang memimpin kerana lebih memahami aspirasi dan tekanan sebenar yang dihadapi anak muda masa kini.

Menurut Aima, belia kini memerlukan platform yang lebih kukuh untuk berkembang, termasuk program kemahiran, kepimpinan dan jaringan kerjaya yang lebih sistematik, bukan sekadar aktiviti sosial.
“Kami harap calon muda seperti Shah Alfie boleh memperluas program pembangunan kapasiti belia, bukan hanya aktiviti santai tetapi inisiatif yang melahirkan pemimpin pelapis Sabah yang berkualiti,” katanya.

Aimie pula menekankan pentingnya akses pendidikan yang lebih inklusif dan relevan.
“Saya berharap calon muda GRS ini dapat meningkatkan bantuan pendidikan, latihan kemahiran dan program bimbingan yang benar-benar membantu belia bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Teguh Patmana Rusman, 30, turut melihat kehadiran Shah Alfie sebagai suntikan baharu kepada isu pembangunan setempat, penambahbaikan ekonomi dan infrastruktur.
“Kami mahu wakil rakyat yang mampu mencari jalan menanggani infrasturutu asas demi kebajikan masyarakat serta merancakkan ekonomi di daerah ini supaya peluang pekerjaan lebih banyak.
“Saya yakin Shah Alfie mampu menyuarakan suara anak muda di DUN Tanjung Keramat secara lebih lantang dan berfokus,” katanya.

Sementara itu, Danish Darlian Syah, 20, berkata generasi muda mahukan pemimpin yang mampu membawa perkembangan nyata kepada daerah itu.
“Harapan saya calon muda ini dapat memajukan DUN Tanjung Keramat dalam pelbagai bidang, termasuk pelancongan, supaya pembangunan di kawasan ini dapat dirasai semua penduduk,” katanya.
Kesemua pandangan ini menekankan keyakinan generasi muda bahawa Shah Alfie Yahya mampu membawa perubahan positif, memupuk kepimpinan muda, dan meningkatkan pembangunan komuniti di DUN Tanjung Keramat.



