Oleh Erdie Ab Wahid
BEAUFORT : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam optimis dan menyatakan keyakinan tinggi untuk memperoleh mandat baharu daripada rakyat selepas 29 November ini.
Beliau berkata keyakinan itu adalah berbekalkan rekod pencapaian yang dianggap sudah “teruji” sepanjang tempoh pentadbirannya sebelum ini di DUN Lumadan.
Meskipun mengakui saingan kali ini lebih sengit dengan kehadiran enam calon pesaing, namun menegaskan bahawa pihak lawan hanya hadir dengan janji, sedangkan kerajaan sebelum ini sudah membuktikan hasil kerja di lapangan.
“Sepanjang lima tahun, beberapa isu kritikal telah berjaya kita selesaikan termasuk pembinaan lima menara telekomunikasi; penyelesaian masalah air dan banjir kilat; program baik pulih rumah daif dan bantuan kepada lebih 100,000 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi golongan miskin tegar,” katanya kepada Sabah Media di sini pada Isnin.
Menurutnya, bantuan sedia ada termasuk pemberian RM300 dan bayaran tambahan RM900 yang terus disalurkan ke akaun penerima merupakan bukti komitmen kerajaan dalam membela golongan rentan.
Sementara itu, beliau turut menekankan pembangunan belia sebagai fokus utama, dengan pembinaan 12 dewan terbuka untuk kegunaan sukan dan aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, sebelum dewan tersebut dibina, anak muda sering berkumpul di tepi jalan sehingga awal pagi dan mudah terdedah kepada aktiviti tidak sihat.
Menurutnya, kemudahan baharu itu kini menjadi pusat aktiviti belia dan mengurangkan gejala sosial.
“Selain infrastruktur, program pembangunan sahsiah turut diberi penekanan. Melalui inisiatif mengimarahkan 30 masjid dan 42 surau, saya turun padang menghadiri program Subuh bagi menunjukkan contoh kepimpinan kepada masyarakat.
“Kesungguhan pemimpin hadir ke masjid jauh sebelum matahari terbit sepatutnya menjadi inspirasi kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ruslan menegaskan pembangunan Lumadan harus bergerak seimbang antara kemajuan fizikal, rohani dan ekonomi rakyat.
“Kita bukan hanya membina jalan dan dewan. Kita membina masyarakat,” katanya sambil menyatakan keyakinan penuh bahawa rakyat akan terus mempercayai kepimpinan beliau pada pilihan raya kali ini. – SABAH MEDIA



