Oleh J Evachel John
PUTATAN: Hujan awal pagi dan cuti hujung minggu tidak menghalang pengundi di Putatan daripada hadir ke SMK Putatan, dengan tekad menunaikan tanggungjawab mereka dan meletakkan harapan terhadap calon yang mampu membawa perubahan.
Antara yang tiba lebih awal ialah peguam Mohammed Fareez Mohammed Salleh, yang mengakui sempat terlintas untuk berehat di rumah.
“Hujan turun awal pagi tadi, dan sempat terlintas di fikiran saya bahawa undi saya seorang mungkin tidak membawa perubahan.
“Tetapi sebagai seorang Sabahan, ini adalah hak dan tanggungjawab saya. Jadi, saya bangun awal, minum kopi, ketepikan rasa malas, dan datang ke sini untuk mengundi dengan penuh harapan supaya masalah kesesakan jalan raya di daerah Putatan dapat diselesaikan.,” katanya.

Mohammed Fareez menjelaskan bahawa walaupun beliau sudah merancang untuk mengundi, cuaca membuatkannya sedikit malas.
“Tetapi saya tetap hadir menunaikan tanggungjawab. Jika anda terfikir untuk tidak mengundi, buang jauh-jauh fikiran sedemikian dan turunlah mengundi,” tambahnya.

Kesungguhan turut ditunjukkan oleh pengundi Yusup Latip, 62, yang baru sahaja keluar dari hospital selepas serangan jantung.
Beliau hadir menggunakan kerusi roda, ditemani isteri dan dibantu oleh seorang rakan yang kebetulan mengundi di tempat yang sama.
Yusup turut menggesa pengundi muda dan semua rakyat Sabah menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya tidak sihat sepenuhnya, tetapi saya tetap hadir mengundi. Kita rakyat Sabah harus menunaikan kewajipan kita. Inilah peluang untuk memilih calon yang terbaik buat negeri kita,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau sudah tidak ingat berapa kali mengundi, tetapi ini adalah kali pertama beliau mengundi menggunakan kerusi roda
“Walaupun saya boleh berjalan, hari ini saya terpaksa menggunakan kerusi roda. Sahabat saya dan petugas pusat mengundi membantu mempermudahkan urusan saya.
“Sebagai warga emas, saya berharap pembangunan di daerah Putatan akan lebih inklusif. Perhatian harus diberikan kepada kemudahan untuk warga emas dan golongan kurang upaya sebagai sebahagian daripada pembangunan jangka panjang Putatan,” katanya.
Seorang lagi pengundi yang datang awal ke pusat mengundi ialah Dayangku Normah Pgn Awang Besar, 69, ditemani oleh anak perempuannya.
“Saya sudah tidak ingat berapa kali saya mengundi, tetapi setiap kali pilihan raya, saya pastikan hadir. Bagi saya ini adalah tanggungjawab saya, dan saya akan terus melaksanakannya selagi berpeluang.
“Saya hanya berharap pemimpin kita dapat mempermudahkan kehidupan rakyat, contohnya dengan mempercepatkan kelulusan permohonan bantuan seperti rumah SMJ,” katanya, sambil menggesa mereka yang belum mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Walaupun hujan, pengundi mula hadir seawal 7 pagi, beratur dengan sabar di bawah payung dan baju hujan. Pada 7.30 pagi, kaunter mengundi dibuka, dengan sukarelawan memastikan proses berjalan lancar dan teratur.



