Oleh Wan Azrain Adnan
Agenda pembangunan Sabah kini sedang melalui satu fasa perubahan yang signifikan. Bukan lagi sekadar menumpukan kepada pelaksanaan projek fizikal, tetapi turut memberi penekanan kepada pengukuhan kuasa pentadbiran, pengawasan serta pemilikan dan pengurusan sumber hasil bumi. Langkah ini penting kerana hanya melalui penguasaan terhadap instrumen kuasa ekonomi dan pentadbiran, agenda pembangunan dapat diurus dengan lebih tersusun, berkesan dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.
Antara perubahan paling strategik ialah pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah, hasil pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah atau Energy Commission of Sabah (ECoS) pada Januari 2023 menjadi titik tolak kepada pengurusan tenaga yang lebih berpaksikan keperluan sebenar negeri.
Seiring itu, penubuhan Majlis Tenaga Sabah (MTS) bagi menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah menandakan satu lagi anjakan penting. Dengan kelulusan projek penjanaan hampir 1,000 megawatt (MW), Sabah kini berada di landasan baharu untuk menstabilkan bekalan elektrik yang selama ini menjadi kekangan utama pembangunan.
Lebih bermakna, Sabah Electricity kini diterajui rakyat Sabah buat pertama kali sejak penubuhannya pada tahun 1998. Walaupun pemilikan saham masih 20 peratus milik Kerajaan Sabah dan 80 peratus Tenaga Nasional Berhad (TNB), langkah ini terhadap kepimpinan tempatan membawa simbol penting terhadap pemerkasaan autonomi pengurusan tenaga.
Dalam sektor sumber bumi, penglibatan Kerajaan Sabah dalam pemilikan dan pengurusan minyak dan gas turut diperkasakan. Aset minyak dan gas yang menyumbang lebih 20 peratus kepada KDNK Sabah kini ditangani dengan pendekatan yang lebih strategik, termasuk pemilikan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah (PCFSSB) serta pemindahan aset huluan gas kepada Sabah Energy Corporation (SEC).
Melalui Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang dimeterai pada 2021, penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas melonjak hampir 250 peratus dalam tempoh empat tahun. Perubahan ini bukan sekadar angka, tetapi menandakan penyertaan rakyat Sabah dalam rantaian ekonomi bernilai tinggi yang sebelum ini lebih didominasi pihak luar.
Dalam sektor air pula, keputusan untuk memperbadankan Jabatan Air Sabah merupakan langkah yang realistik dan perlu. Skandal rasuah besar yang pernah membabitkan jabatan ini membuktikan bahawa pembaharuan struktur bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak. Pembekalan air merupakan hak asas rakyat, dan ia hanya boleh ditangani oleh sebuah entiti yang cekap, bersih, telus dan profesional.
Bagi memastikan keterjaminan makanan, penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) pada 2023 adalah satu langkah strategik yang tepat pada masanya. Dengan Kadar Sara Diri Beras Sabah yang merosot kepada 22.8 peratus, kebergantungan negeri kepada bekalan luar menjadi terlalu tinggi dan berisiko. Peruntukan RM32.5 juta di bawah Belanjawan Sabah 2025 memberi peluang untuk membina semula ekosistem industri padi secara tersusun dan moden.
Dalam sektor pelancongan, penguasaan penuh terhadap program Sabah–Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) pula membuka ruang kepada Sabah untuk merangka dasar sendiri yang lebih sesuai dengan realiti negeri. Sasaran 500 pemohon bagi tahun 2025 bukan sekadar indikator pelaburan, tetapi juga potensi limpahan ekonomi kepada sektor perkhidmatan, hartanah dan pelancongan tempatan.
Pengukuhan badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) turut menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperkemas jentera ekonomi negeri. Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GLC yang dianggotai pakar perbankan, perundangan dan audit membuktikan bahawa elemen tadbir urus kini diberi perhatian serius, bukan lagi bersifat pentadbiran rutin semata-mata.
Kejayaan pemulihan Sabah Development Bank (SDB) menjadi antara bukti paling ketara keberkesanan pendekatan ini. Pengurangan kerugian drastik, penurunan obligasi bon, peningkatan nisbah modal serta keupayaan meluluskan pembiayaan RM1.71 bilion dalam tempoh 16 bulan memperlihatkan bahawa institusi kewangan milik negeri ini sedang kembali memainkan peranan strategiknya sebagai pemangkin pembangunan.
Pada masa yang sama, hak pekerja di Sabah turut memasuki era pembaharuan melalui pelaksanaan Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025. Penyelarasan undang-undang buruh selepas tertangguh lebih dua dekad bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah memberi manfaat langsung kepada kira-kira dua juta pekerja, termasuk pengurangan waktu kerja mingguan.
Penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) serta pelancaran Pusat Sehenti Tenaga Kerja pula melengkapkan ekosistem pembangunan modal insan negeri. Ia menunjukkan bahawa pembangunan tidak lagi hanya diukur pada pertumbuhan fizikal, tetapi turut diimbangi dengan kesejahteraan tenaga kerja.
Trend penurunan kadar pengangguran daripada 8.0 peratus pada 2020 kepada 5.7 peratus pada suku ketiga 2025 mengesahkan bahawa pelbagai inisiatif ini mula menunjukkan hasil.
Kesemua perkembangan ini memberikan satu mesej yang jelas: Sabah sedang membina semula asas kekuatan negeri — daripada tenaga, air, makanan, kewangan, pelancongan hinggalah kepada buruh dan tenaga kerja. Ia bukan perubahan segera yang dramatik, tetapi satu pembinaan sistemik yang menentukan hala tuju jangka panjang.
Cabarannya kini ialah memastikan bahawa segala kuasa, aset dan institusi yang telah diperoleh ini diurus dengan penuh integriti, kecekapan dan keberanian membuat keputusan yang betul. Kerana tanpa tadbir urus yang kukuh, segala pemerkasaan hanya akan tinggal sebagai potensi yang tidak pernah direalisasikan.
Maju Nda Baranti.



