HomeUtamaAsap hitam, bunyi bising antara kesalahan dikesan dalam Ops Gerak Kebangsaan di...

Asap hitam, bunyi bising antara kesalahan dikesan dalam Ops Gerak Kebangsaan di Sabah

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 40 kenderaan diesel dan 56 buah motosikal telah diperiksa dalam Operasi Gerak Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Ozon 2025 Peringkat Negeri Sabah yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa di sini.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang bertujuan memastikan pematuhan terhadap tahap pelepasan asap, bunyi bising dan pengendalian bahan yang memusnahkan lapisan ozon.

Pengarah JAS Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, pemeriksaan kenderaan diesel yang melibatkan kenderaan syarikat perdagangan dan persendirian itu mendapati sebanyak empat buah kenderaan gagal mematuhi tahap pelepasan asap dibenarkan, manakala enam buah motosikal pula gagal mematuhi piawaian bunyi bising.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, tujuh kompaun dan lima notis arahan telah dikeluarkan oleh JAS kepada pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Ops Gerak Kebangsaan di Taman Awam Teluk Likas di sini pada Isnin.

Rashidah berkata, sebanyak 23 kompaun turut dikeluarkan oleh pihak polis atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala JPJ turut mengeluarkan sebanyak 80 notis terhadap kenderaan yang melakukan pelanggaran peraturan jalan raya.

Katanya, sebanyak 30 pemeriksaan saringan turut  dilakukan pihak AADK ke atas pemandu, dan kesemuanya disahkan lulus tanpa sebarang kes positif penyalahgunaan dadah.

“Operasi ini merupakan sebahagian daripada Operasi Gerak Nasional Hari Ozon 2025 yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latif Wan Jaffar, pada 4 Disember lalu di Kuching, Sarawak. 

“Di Sabah, operasi bermula pada 5 Disember di sekitar Jalan UMS, Likas, sebelum diteruskan pada 8 Disember di Jalan Tun Fuad Stephens, Taman Awam Likas.

“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan alam sekitar khususnya berkaitan pelepasan asap, kawalan bunyi bising dan pengurusan bahan perosak ozon dalam usaha melindungi kualiti udara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pemilik kenderaan diesel, syarikat pengangkutan awam serta persendirian supaya menyelenggara enjin secara berkala, menggunakan minyak pelincir berkualiti serta memastikan sistem ekzos, catalytic converter dan komponen lain berada dalam keadaan baik.

“Orang awam juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kenderaan yang mengeluarkan asap hitam dengan mengemukakan nombor pendaftaran kenderaan kepada JAS untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Children’s Art Award Ceremony serlah bakat anak muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular