Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 100 kanak-kanak berbakat diraikan menerusi Children’s Art Award Ceremony 2025, sebuah acara yang mengiktiraf kreativiti serta pencapaian seni visual pelajar muda yang menunjukkan perkembangan luar biasa sepanjang tahun.
Dianjurkan oleh My Art Studio cawangan Lintas Plaza dan Pintas Square, majlis itu menghimpunkan keluarga, pendidik seni dan komuniti kreatif Sabah bagi meraikan kecemerlangan peserta dalam pelbagai kategori seni visual, sekali gus mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan pendidikan kreatif di negeri ini.
Pengetua My Art Studio, Chua Sang Yuu, berkata pelajar berusia antara lima hingga 16 tahun itu menunjukkan peningkatan ketara, bukan sahaja dalam kemahiran teknikal tetapi juga dari segi kreativiti serta keberanian meneroka idea baharu.
“Tahun ini, kami menyaksikan perkembangan mengagumkan dalam kemahiran teknikal dan keyakinan kreatif bakat muda kami. Mereka kini lebih berani meneroka tema baharu serta membuat keputusan dengan idea unik dan menghasilkan karya yang memukau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ketiga-tiga sesi penyampaian anugerah yang berlangsung di Tinggi Tinggi Creative Hub, Jesselton, pada Ahad.

Beliau berkata penganjuran anugerah itu memberi ruang kepada kanak-kanak untuk dirai atas usaha, semangat dan ketekunan mereka dalam berkarya.
“Anugerah ini diwujudkan sebagai platform untuk mempamerkan bakat dan hasil kerja mereka. Dengan penganjuran acara seperti ini, kami berharap masyarakat dapat menghargai seni kanak-kanak dengan lebih mendalam dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif,” katanya.
Semua karya pelajar turut dipamerkan di Tinggi Tinggi Creative Hub dari 5 hingga 12 Disember.
Chua menjelaskan bahawa antara kriteria dalam mengenal pasti bakat muda ialah sifat ingin tahu, imaginasi visual yang kuat, ketekunan, serta penguasaan komposisi, warna dan bentuk yang tinggi.
“Untuk mengembangkan bakat pelajar, kami akan memperkenalkan teknik yang lebih maju, membantu mereka mengenal pasti bidang yang boleh diterokai, serta membimbing mereka mengekspresikan karya melalui pelbagai pendekatan.
“Matlamat kami ialah memastikan mereka berkembang mengikut kemampuan masing-masing agar terus bersemangat tanpa tekanan,” katanya.

Menurutnya, dengan kerjasama My Art Studio bersama Sabah Youth Network for Creatives (SYNC), masa depan pendidikan seni kanak-kanak di Sabah dijangka semakin cerah.
“Dengan kesedaran yang kian meningkat mengenai nilai kreativiti, lebih ramai ibu bapa dan sekolah kini menyedari pentingnya memupuk ekspresi seni. Kami menjangkakan integrasi seni yang lebih meluas dalam pendidikan arus perdana, lebih banyak program seni komuniti, serta akses latihan yang lebih berkualiti untuk kanak-kanak Sabah,” katanya.



