KENINGAU: Seramai 15 individu ditahan dalam satu operasi khas membanteras lumba motosikal haram yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Keningau–Apin-Apin, berhampiran Kilometer 4, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Keningau itu bermula kira-kira jam 9 pagi susulan maklumat mengenai kegiatan lumba haram di laluan berkenaan.
Menurut beliau, semua individu yang terlibat berjaya ditahan, manakala empat buah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal yang digunakan dalam aktiviti berkenaan turut disita untuk tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, Seksyen 48(1) kerana menyebabkan halangan di jalan raya, serta Seksyen 81(3) berkaitan sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti lumba haram yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan berbahaya tersebut.
Pagi ini video perlumbaan haram berkenaan turut tular di Media Sosial dimana terdapat 2 pelumba haram dan kenderaan pacuan 4 roda yang telah menghalang laluan trafik di lokasi berkenaan.



