HomeUtamaSambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 dijangka tarik 50,000 pengunjung

Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 dijangka tarik 50,000 pengunjung

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Kira-kira 50,000 pengunjung termasuk pelancong dijangka hadir memeriahkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 yang diadakan selama empat hari bermula Selasa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata sambutan itu akan berlangsung di Padang Merdeka bermula esok dan dijadual akan disempurnakan Yang d-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

“Ini mencerminkan keterbukaan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyokong perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama. Sambutan tersebut dianjurkan sejak 19 tahun lalu kini memasuki tahun ke-20 dan buat julung kalinya diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.

“Selain pelbagai pengisian pentas sepanjang sambutan, Jamuan Rakyat turut diadakan melibatkan 100 usahawan tempatan dari kalangan penjaja dan peniaga kecil sebagai pembekal pelbagai juadah kepada pengunjung, sebagai sokongan kepada perusahaan mikro dan kecil di negeri ini. 

“Kerajaan Negeri Sabah mengangkat Sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Sabah Council of Churches (SCC) sebagai Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai rombongan Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 menghadap Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Ewon berkata, majlis penutupan akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 19 Disember ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkata, meskipun tempoh persiapan agak singkat selepas dipertanggungjawabkan menguruskan jawatankuasa induk pada Mesyuarat Kabinet Sabah 3 Disember lalu, perancangan awal oleh jawatankuasa terdahulu melibatkan Kementerian Belia dan Sukan, DBKK serta SCC banyak membantu kelancaran persiapan.

“Cadangan untuk mengangkat sambutan ini sebagai sambutan peringkat negeri telah dipersetujui Kabinet Sabah pada mesyuarat 10 Disember lalu,” katanya.

Tambahnya, tema sambutan ‘Pengharapan Damai Dalam Kasih’ menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah selaras dengan agenda Sabah First dan Sabah Maju Jaya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap MIDET Datuk Thomas Logijin; Pengerusi Penganjur Bersama SCC, Father Thomas Yip; Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong serta Timbalan Ketua Pengarah DBKK Faradillah Abdul Rani.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditahan berhubung video tular pukul kanak-kanak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular