KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah melaksanakan sebanyak 136,600 pemeriksaan premis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negeri bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Sabah, Peter J. Berinus Agang berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 67,972 pemeriksaan bagi tempoh sama pada tahun 2024.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan dilaksanakan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan termasuk Ops Tiris, Ops Ria dan Ops Kesan 4.0, yang merekodkan 1,534 tindakan kes di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM30,378,881.51 berbanding RM9,132,304.17 pada tahun lalu.
“Daripada keseluruhan tindakan penguatkuasaan itu, kompaun berjumlah RM662,250 telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan, manakala sebanyak 96 kes telah dituduh di mahkamah sepanjang tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPDN Sabah turut menerima sebanyak 1,967 aduan pengguna di seluruh negeri, dengan 1,861 aduan berjaya diselesaikan setakat ini, manakala 106 aduan masih dalam siasatan.
Katanya, semua aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan tersebut dilaksanakan oleh 204 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh Sabah bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan serta aktiviti perniagaan dijalankan selaras dengan perundangan yang dikuatkuasakan kementerian, selain melindungi kepentingan pengguna dan membanteras ketirisan barangan kawalan bersubsidi.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan strategik KPDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta pihak berkuasa tempatan atas kerjasama erat sepanjang tahun ini dalam membantu kementerian membanteras ketirisan barangan kawalan, khususnya di kawasan sempadan perairan negara.
Tambahnya, kerjasama berterusan itu penting bagi memastikan subsidi kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
Sehubungan itu, masyarakat tempatan digalakkan untuk menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat berkaitan peniaga tidak beretika atau sebarang pelanggaran undang-undang bagi membantu pengawalseliaan barangan kawalan bersubsidi.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel [email protected], aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, serta melalui surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat.



