HomeUtamaSabah tingkatkan usaha tangani sekolah daif – James Ratib

Sabah tingkatkan usaha tangani sekolah daif – James Ratib

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited dalam menangani isu sekolah daif di negeri ini dengan pendekatan berperingkat dan fokus, melalui kerjasama erat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata sehingga 15 Disember 2025, daripada 368 buah sekolah skala 7 dengan jumlah 1,779 blok yang dikenal pasti, sebanyak 216 projek sekolah daif telah diluluskan.

“Daripada 216 projek sekolah daif yang diluluskan, 96 projek kini berada dalam peringkat pra-bina, 65 projek sedang dalam pembinaan, dan 55 projek telah siap sepenuhnya,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Menurut James, jumlah keseluruhan peruntukan bagi pelaksanaan projek sekolah daif ini adalah RM4.95 bilion, merangkumi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-13.

Sementara itu, James berkata kementeriannya bertanggungjawab menyelaras projek-projek yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.

“Memang kita tidak mempunyai kuasa sepenuhnya… Kita hanya menyelaras dan memantau semua projek yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Tetapi sebagai Exco dan Menteri, kita boleh menyuarakan masalah-masalah di Sabah untuk dipertimbangkan,” katanya.

James, yang merupakan bekas Exco Kesihatan negeri, memberi contoh, dulu bilangan (projek) klinik daif hanya dua atau tiga, tetapi dalam setahun meningkat kepada lebih 100.

“Sebab itu Kerajaan Persekutuan ini kalau kita tidak “gonggong”, tidak cakap, tidak akan kena bagi. Jadi terpulang kepada pemimpin kita di Sabah ini. Bagaimana suara kita, bagaimana kita minta peruntukan-peruntukan dari Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata, sejajar dengan komitmen untuk memperkasakan peluang pendidikan dan menyokong pembangunan modal insan di Sabah, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberi pengiktirafan sijil United Examination Certificate (UEC) sebagai kelayakan akademik rasmi Kerajaan Sabah.

Kerajaan Sabah juga merancang beberapa manfaat bagi pemegang sijil UEC, termasuk pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan Negeri yang menjadikan UEC sebagai asas untuk bantuan, peluang memohon Biasiswa Kerajaan Negeri, peluang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan milik Kerajaan Sabah, serta pertimbangan dalam pengambilan perkhidmatan awam negeri dan agensi berkaitan, tertakluk kepada kepujian dalam Bahasa Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Didenda RM5,000 gara-gara nombor plat palsu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular